Saham Pan Merchant susut 15% kepada 23.5 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Pan Merchant susut 15% kepada 23.5 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Penyedia rumusan penapisan pepejal-cecair, Pan Merchant Berhad membuat penampilan sulung yang hambar di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga 23.5 sen atau 15% lebih rendah berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 27 sen sesaham.

 

Jumlah dagangan pembukaan ialah 164,600 saham. Pada harga tersebut, syarikat mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM215 juta.

 

Menjelang penyenaraian, IPO Pan Merchant mencatatkan permintaan yang lemah, dengan bahagian runcit hanya dilanggan sebanyak 37% dan baki saham yang tidak dilanggan terpaksa diagihkan semula kepada kategori pelabur lain.

 

Sekurang-kurangnya dua firma penyelidikan memberi amaran, IPO tersebut terlebih harga disebabkan saiz dan pegangan pasaran Pan Merchant yang kecil, serta risiko perdagangan global.

 

Pada majlis penyenaraian kumpulan itu, Pengarah Urusan Pan Merchant, Wong Voon Ten menyatakan keyakinannya terhadap syarikat selain menekankan potensi besar dan permintaan yang semakin meningkat terhadap rumusan penapisan pepejal-cecair dalam industri rawatan air dan bahan api lestari.

 

Buku tempahan syarikat berjumlah RM69.6 juta setakat 6 Mei 2025, merangkumi tempahan bagi peralatan penapisan, alat ganti, dan kerja-kerja keluli. Buku tempahan itu dijangka dipenuhi dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

IPO telah menjana kira-kira RM63 juta untuk Pan Merchant dan hampir RM5 juta untuk satu-satunya pemegang saham penjual, Budhi Sentoso Rachmat, yang juga merupakan pengasas bersama anak syarikat Pan Merchant, PMI-Technology Sdn Bhd.

 

Daripada jumlah keseluruhan hasil yang diperoleh daripada terbitan saham baharu, sebanyak RM28 juta akan digunakan bagi perbelanjaan modal untuk loji pembuatan, termasuk pembelian jentera, peralatan dan alat ganti, serta kerja-kerja pengubahsuaian kemudahan pengeluaran.

 

Sebanyak RM7 juta lagi akan diperuntukkan untuk pembangunan produk, manakala baki selebihnya akan digunakan bagi pengembangan perniagaan, modal kerja, dan menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Affin Hwang Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi pelaksanaan IPO kumpulan tersebut.- DagangNews.com