Saham Northern Solar dibuka 43% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Northern Solar dibuka 43% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - Saham Northern Solar Holdings Bhd dibuka 43% lebih tinggi daripada tawaran wam permulaan (IPO) pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.

 

Saham syarikat itu dibuka pada 90 sen berbanding IPO sebanyak 63 sen sesaham.

 

Northern Solar mencatatkan kenaikan setinggi 95.5 sen dan didagangkan pada 89 sen pada 9.10 pagi, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM352 juta. Lebih daripada 56 juta saham bertukar tangan setakat ini.

 

Pengarah Urusan Northern Solar, Lew Shoong Kai berkata, syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan lebih banyak projek solar, berikutan pengembangan kapasiti solar atas bumbung baru-baru ini di bawah skim pemeteran tenaga bersih (NEM), serta garis panduan baharu untuk program penggunaan diri (Selco).

 

"Kami mengintai lebih banyak projek solar daripada sektor awam dan swasta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Di bawah garis panduan baharu, kerajaan mengeluarkan had kapasiti permintaan sebanyak 85% untuk pengguna bukan domestik, dan akan membenarkan pemasangan panel solar di atas tanah dan di atas air.

 

“Penyenaraian kami di Bursa Malaysia adalah tepat pada masanya untuk meningkatkan profil kumpulan dan mengumpul dana untuk modal kerja, meningkatkan keupayaan dan mendapatkan peluang yang lebih besar dalam industri tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin berkembang," kata Shoong Kai.

 

Syarikat itu berjaya menyelesaikan 1,165 projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem solar fotovoltaik (PV) di bawah program NEM dan SeIco setakat 21 November 2024.

 

Syarikat itu juga memiliki dan mengendalikan 10 system solar PV dan empat lagi sistem solar PV di bawah 20% milik Engtex Energy Sdn Bhd. Pembuat paip dan injap Engtex Group Bhd memiliki 80% Engtex Energy.

 

Pemaju hartanah Lagenda Properties Bhd mempunyai 15% pegangan dalam Northern Solar.

 

Lebih separuh daripada hasil, RM29.17 juta, diperuntukkan untuk tujuan modal kerja untuk mengembangkan perniagaan sistem solar PV. 

 

Sejumlah RM3.2 juta lagi daripada hasil itu akan digunakan untuk menubuhkan pejabat korporat baharu dengan pusat arahan kejuruteraan di Petaling Jaya dan bagi membiayai penubuhan pejabat yang diperluaskan di Johor, dan pejabat tambahan di Pulau Pinang.

 

Sebanyak RM5.5 juta lagi akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, dan baki RM4.55 juta untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO.- DagangNews.com