Saham Muhibbah Engineering dianggap terlalu murah oleh pasaran, CGSI kekal saranan ‘Tambah’ dengan TP RM0.81 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Muhibbah Engineering dianggap terlalu murah oleh pasaran, CGSI kekal saranan ‘Tambah’ dengan TP RM0.81

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 April – Saham Muhibbah Engineering Bhd dilihat masih diniagakan pada penilaian yang terlalu murah oleh pasaran, meskipun kumpulan itu terus mencatat kemenangan kontrak baharu serta mengukuhkan buku tempahan projeknya, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata pasaran ketika ini masih meletakkan nilai tersirat negatif terhadap perniagaan pembinaan Muhibbah sebanyak RM111 juta, yang disifatkan sebagai tidak mencerminkan asas sebenar syarikat.

 

Menurut CGSI, pengiraan itu dibuat berdasarkan permodalan pasaran Muhibbah sebanyak RM355.7 juta, selepas menolak nilai pegangan dalam beberapa aset utama termasuk 64 peratus dalam Favelle Favco, 31 peratus dalam Master-Pack Group, serta 21 peratus dalam konsesi lapangan terbang di Kemboja yang dinilai menggunakan kaedah DCF dengan andaian WACC 10 peratus hingga 2040.

 

Menurut CGSI, situasi ini menyebabkan pasaran seolah-olah memberikan penilaian yang terlalu rendah terhadap perniagaan pembinaan Muhibbah, meskipun segmen tersebut masih aktif meraih kontrak baharu dan mempunyai prospek yang stabil.

 

Terbaharu, Muhibbah memperoleh kontrak bernilai RM120 juta daripada Gamuda Industrial Building System Sdn Bhd bagi kerja penghadang bunyi dan pembinaan struktur penutup untuk Projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara.

 

Kontrak tersebut akan bermula pada April 2026 dan dijangka siap pada suku ketiga 2030 yang memberi keterlihatan pendapatan jangka panjang kepada kumpulan.

 

Menurut CGSI, projek tersebut turut mengukuhkan lagi kedudukan Muhibbah dalam segmen penghadang bunyi, selepas syarikat itu terlibat dalam pelbagai projek rel dan infrastruktur termasuk MRT, LRT3 serta projek lebuh raya bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE).

 

“Ini merupakan kemenangan kontrak pembinaan pertama Muhibbah bagi tahun kewangan FY26F, sekali gus menandakan permulaan yang lebih kukuh bagi segmen tersebut.

 

“Dengan kontrak baharu ini, buku tempahan pembinaan kumpulan meningkat kepada sekitar RM983 juta, manakala jumlah keseluruhan termasuk segmen kren mencecah RM1.6 bilion,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

CGSI berkata kontrak ini menyumbang sekitar 30 peratus daripada sasaran kemenangan kontrak pembinaan FY26F yang dianggarkan sebanyak RM400 juta.

 

Firma itu turut menganggarkan margin keuntungan kasar (GP margin) bagi kontrak berkenaan berada dalam lingkungan 8 hingga 9 peratus.

 

Kemenangan tersebut hadir selepas kontrak EPCC bernilai kira-kira RM700 juta hingga RM850 juta daripada Petronas yang diperoleh pada Disember 2025, yang merupakan antara kemenangan utama kumpulan sejak November 2023.

 

Menurut CGSI, perkembangan ini menunjukkan perniagaan pembinaan Muhibbah kini berada pada landasan yang lebih kukuh, sekali gus mampu mengimbangi kelemahan dijangka dalam segmen lapangan terbang di Kemboja, yang telah beralih daripada model perjanjian konsesi kepada perjanjian perkhidmatan pengurusan dan dijangka menyumbang pendapatan lebih rendah.

 

Dalam pada itu, CGSI mengekalkan pandangan bahawa pasaran masih belum memberi penilaian sewajarnya terhadap nilai sebenar perniagaan pembinaan Muhibbah walaupun prospek tempahan semakin kukuh.

 

Firma itu mengekalkan saranan “Tambah” ke atas saham Muhibbah dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.81 sesaham.

 

CGSI turut menjangkakan hasil dividen menarik sekitar 5 hingga 7 peratus bagi tempoh FY26 hingga FY28, disokong aliran tunai stabil daripada projek sedia ada.

 

Bagaimanapun, antara risiko utama termasuk prestasi pelaksanaan projek yang lebih lemah daripada jangkaan serta tekanan kos bahan mentah, manakala pemangkin re-rating termasuk peningkatan pendapatan dan pemulihan ketibaan pelancong ke Kemboja. - DagangNews.com