KUALA LUMPUR 29 Mei — Harga saham Malayan Cement Berhad kembali meningkat selepas keputusan kewangan bagi suku ketiga FY26 kumpulan itu mengatasi jangkaan pasaran, menurut penganalisis.
Perkembangan tersebut jelas mereka, sekali gus dijangka dapat membangkitkan semula keyakinan pelabur walaupun syarikat berkenaan masih lagi berdepan tekanan kenaikan kos tenaga dan bahan api.
Harga saham pengeluar simen terbesar negara itu melonjak hampir 4% kepada RM7.15 pada dagangan pagi selepas beberapa firma penyelidikan mengekalkan pandangan positif terhadap prospek syarikat.
Bagaimanapun, saham Malayan Cement masih susut lebih 16% berbanding paras akhir Februari 2026 susulan kebimbangan terhadap konflik di rantau Timur Tengah yang melonjakkan harga arang batu.
Arang batu digunakan dalam operasi relau untuk menghasilkan bahan asas simen menyumbang sekitar 20% hingga 30% daripada kos pengeluaran Malayan Cement, manakala diesel pula sekitar 1% hingga 2%.
RHB Research berkata, walaupun syarikat dijangka berdepan suku lebih mencabar selepas ini, ia masih positif terhadap inisiatif kawalan kos oleh kumpulan itu dan mengekalkan saranan 'beli'.
Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula berpandangan isu kebimbangan jangka pendek sudah banyak diambil kira dalam penilaian prospek harga saham semasa Malayan Cement sebelum ini.
"Justeru, sebarang penurunan ketegangan geopolitik di Timur Tengah serta penyusutan harga arang batu mampu menjadi pemangkin penarafan semula saham syarikat simen tersebut," kata firma itu.
Situasi ini dapat dilihat apabila konsensus Bloomberg menunjukkan lima daripada enam penganalisis mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) purata RM9.08.
Malayan Cement Antara Pilihan Utama Sektor Pembinaan
Sementara itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM10 sesaham kerana melihat kumpulan tersebut sebagai antara penerima manfaat utama kitaran pertumbuhan sektor pembinaan.
Firma itu berkata, permintaan simen dijangka terus disokong oleh projek infrastruktur awam dan swasta termasuk gudang, pusat data (DC), pembangunan kediaman serta potensi projek rel MRT3.
"Selain itu, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembesaran lapangan terbang serta projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dijangka menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang," katanya.
Bagi 3QFY26, Malayan Cement mencatat keuntungan bersih teras RM258.4 juta, meningkat 41.2% tahun ke tahun (YoY) selepas mengambil kira pelarasan kerugian pertukaran asing belum direalisasi.
Menurut MBSB Research, segmen simen kekal penyumbang utama keuntungan apabila hasil naik kepada RM791.3 juta disokong harga jualan purata (ASP) lebih baik serta permintaan berterusan industri.
Tekanan kos arang batu jelas firma penyelidikan tersebut, masih terkawal buat masa ini walaupun harga bekalan baharu meningkat kepada AS$90 (RM357) satu tan berbanding AS$65 (RM258) sebelumnya.
"Pengurusan Malayan Cement menjangkakan kesan terhadap margin pada 4QFY26 masih boleh diuruskan melalui strategi pembelian arang batu secara bergilir bagi tempoh dua hingga tiga bulan," katanya.
Justeru, MBSB Research turut menaikkan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 10% dan 6% berikutan jangkaan jumlah jualan dan margin yang lebih kukuh. - DagangNews.com








