Saham IJM diyakini bangkit selepas kejatuhan 27%, HLIB unjurkan harga RM2.73 dalam masa terdekat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham IJM diyakini bangkit selepas kejatuhan 27%, HLIB unjurkan harga RM2.73 dalam masa terdekat

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 April – Saham IJM Corporation Berhad mula menunjukkan tanda pemulihan untuk bangkit semula selepas menyaksikan penyusutan mendadak 27.6% pada suku pertama tahun ini.


Berdasarkan perkembangan semasa pada ketika ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan pandangan positif dan meramalkan harganya mampu mencecah RM2.73 dalam tempoh yang terdekat.


Menurutnya, saham syarikat tersebut merosot daripada paras tertinggi RM2.97 pada 13 Januari 2026 kepada RM2.15 pada akhir bulan lalu, dipengaruhi faktor luaran termasuk krisis di Timur Tengah.


"Kegagalan tawaran pengambilalihan bersyarat bernilai RM11 bilion oleh Sunway Berhad pada 6 April 2026g turut menjadikan saham IJM susut," tambah firma penyelidikan berkenaan dalam analisisnya.


Saham itu namun pulih 7.9% kepada RM2.32 sejak mencecah paras terendah, mencerminkan pembentukan asas harga disokong corak teknikal ‘double bottom’ serta ada kestabilan di atas aliran menaik.


HLIB berkata, penembusan kukuh melepasi paras rintangan hingga RM2.53 akan mengesahkan pembalikan aliran menaik, dan membuka ruang kenaikan ke RM2.73, dengan potensi lanjutan sehingga RM2.82.


Dari sudut fundamental pula jelasnya, penilaian IJM ketika ini dilihat semakin menarik apabila diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan 14.3 kali ganda bagi unjuran FY27.

 

IJM_DagangNews


"Angka ini masih jauh lebih rendah berbanding purata syarikat sektor pembinaan dalam senarai Bursa Malaysia sekitar 20 kali serta purata lima tahunnya sendiri sebanyak 23 kali," kata firma itu.


Prospek pendapatan kumpulan ini kata HLIB, disokong buku tempahan kukuh berjumlah RM9 bilion, yang dijangka menjadi asas positif kepada pertumbuhan keuntungan lebih mampan dalam tempoh akan datang.


Percubaan pengambilalihan oleh Sunway sebelum ini turut mewujudkan tekanan kepada pengurusan IJM mempercepatkan inisiatif membuka nilai, termasuk cadangan penyenaraian bahagian pembinaannya.


Syarikat itu ujarnya, berhasrat meningkatkan pendedahan kepada banyak projek pusat data (DC) dan pengisian semula kontrak baharu, selain menumpukan usaha menambah nilai wang ke atas bank tanah.


"Pada masa sama, kumpulan itu mempercepatkan pembangunan projek berpulangan tinggi meningkatkan pulangan ke atas ekuiti, meskipun jualan hartanah dijangka masih kekal sederhana," tambah HLIB.


Firma itu turut berpandangan, potensi pelupusan operasi IJM di India boleh menjadi pemangkin positif dengan memperkemaskan portfolio dan meningkatkan kecekapan modal kumpulan berkenaan.


Justeru, ia mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM3.20 dalam 12 bulan, sambil menilai risiko utama termasuk aliran kontrak, serta tekanan kos pembinaan. - DagangNews.com