Saham Golden Destinations melonjak hampir 9% pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Golden Destinations melonjak hampir 9% pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 April – Golden Destinations Group Bhd memulakan dagangan hari pertama di Pasaran ACE dengan prestasi memberangsangkan apabila sahamnya melonjak hampir 9% iaitu 49 sen sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 45 sen.

 

Kaunter tersebut dibuka pada 49 sen dan kemudiannya mencecah paras tertinggi 49.5 sen. 

 

Setakat 9.15 pagi, saham syarikat itu diniagakan pada 48.5 sen dengan lebih 43 juta saham bertukar tangan, mencerminkan minat awal pelabur terhadap prospek Golden Destinations.

 

Sebelum ini, syarikat itu berkata hasil kutipan IPO akan digunakan untuk beberapa inisiatif strategik, termasuk RM50 juta bagi pembinaan ibu pejabat baharu untuk menyatukan operasi dan menyokong pertumbuhan kakitangan.

 

Selain itu, RM13.5 juta diperuntukkan bagi memperkukuh pemasaran dan promosi, khususnya di Malaysia dan Singapura dalam usahanya meningkatkan pengiktirafan jenama dan memperkuat kedudukan syarikat dalam industri pelancongan antarabangsa.

 

Golden Destinations juga bercadang untuk memperluaskan kehadiran  dengan peruntukan RM6 juta, termasuk meningkatkan penembusan pasaran di Sarawak dan Sabah serta meninjau peluang di pasaran Singapura.

 

Syarikat juga akan menambah RM4 juta untuk meningkatkan sistem IT dan infrastruktur operasi. Langkah ini bertujuan memperbaiki aliran kerja, memperkukuh keupayaan data, dan menyokong skala operasi yang semakin berkembang.

 

Selain itu, RM6 juta diperuntukkan untuk menambah tenaga kerja, bagi memperkukuh kemampuan perkhidmatan dan memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat. 

 

RM4 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja, termasuk pembayaran gaji dan manfaat kakitangan serta kos pentadbiran dan operasi lain. - DagangNews.com