KUALA LUMPUR 18 Mei – Gold Li Holdings Bhd memulakan penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan prestasi lemah apabila harga sahamnya dibuka lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO).
Saham syarikat itu dibuka pada 12 sen, iaitu lebih rendah daripada harga IPO sebanyak 13 sen sesaham.
Dalam beberapa minit awal dagangan, saham tersebut terus susut sehingga mencecah paras terendah 11 sen berikutan aktiviti jualan yang lebih tinggi.
Pada paras itu, permodalan pasaran Gold Li Holdings Bhd dianggarkan sekitar RM66 juta.
Prestasi lemah pada hari pertama itu berlaku ketika permintaan terhadap IPO syarikat berkenaan hanya mencatat langganan sekitar tiga kali daripada jumlah saham yang ditawarkan.
Keadaan ini menggambarkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur institusi serta penganalisis terhadap saham syarikat bersaiz kecil dalam sektor hartanah.
Gold Li Holdings Bhd ialah pemaju hartanah yang memberi tumpuan kepada pembangunan rumah bertanah dan projek komersial di Johor.
Syarikat itu turut bertindak sebagai kontraktor utama bagi sebahagian projek pembangunannya sendiri, dengan 13 projek sedang dilaksanakan serta 28 projek dalam perancangan.
Jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) kumpulan dianggarkan sekitar RM855 juta, disokong oleh bank tanah seluas 47.3 ekar.
Melalui IPO tersebut, syarikat berjaya mengumpul dana sekitar RM15.21 juta, dengan lebih 70 peratus diperuntukkan untuk membiayai sebahagian projek sedia ada serta satu projek baharu.
Baki dana IPO digunakan bagi menampung kos penyenaraian di pasaran tempatan.
Gold Li Holdings Bhd turut merancang untuk memperluaskan portfolio ke segmen pembangunan bertingkat tinggi melalui projek pangsapuri 500 unit di Muar yang dijadualkan dilancarkan pada 2027 dengan anggaran GDV sekitar RM400 juta.
Selain itu, tawaran untuk jualan saham dalam IPO turut menjana kira-kira RM4.7 juta kepada pengarah serta ketua pegawai operasi syarikat yang mengurangkan pegangan mereka kepada 73.3 peratus yang kebanyakannya dipegang melalui Setia Mega Sdn Bhd.
M&A Securities bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi penyenaraian IPO tersebut. - DagangNews.com








