Saham Adnex melonjak 25% pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Adnex melonjak 25% pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac – Saham Adnex Group Berhad melonjak 25% kepada 25 sen pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 20 sen.

 

Penyedia perkhidmatan pemasangan dalaman itu berkata lonjakan tersebut menunjukkan permintaan kukuh dan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat.

 

Syarikat ini, melalui anak syarikat utamanya Adnex Interior Solution Sdn. Bhd telah beroperasi lebih 20 tahun dan terkenal dengan penyediaan perkhidmatan pemasangan hiasan dalaman yang lengkap, termasuk mereka bentuk, pengurusan projek, dan penghantaran untuk pejabat korporat, restoran, galeri jualan, serta ruang komersial. 

 

Kumpulan ini mempunyai reputasi kukuh dalam mutu kerja, ketepatan reka bentuk, dan penghantaran tepat pada masanya, serta telah berkhidmat kepada syarikat tempatan dan multinasional di seluruh Malaysia.

 

Melalui IPO ini, Adnex telah mengumpul RM18.1 juta daripada terbitan 90.5 juta saham baharu pada harga RM0.20 sesaham. Sebanyak 39.5 juta saham sedia ada turut ditawarkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia. 

 

Hasil IPO itu akan digunakan untuk memperluaskan perniagaan termasuk pejabat korporat dan penubuhan pejabat cawangan baharu, naik taraf infrastruktur digital, pengembangan ke pasaran antarabangsa, pembayaran bon prestasi projek, pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja, dan kos penyenaraian.

 

Pengarah Urusan Adnex Group Berhad, Kan Wai Chun berkata penyenaraian hari ini menandakan permulaan lembaran baharu yang menarik bagi Adnex. 

 

“Hasil IPO akan menyokong projek sedia ada dan akan datang, memperkukuh modal kerja, dan menyediakan asas untuk pengembangan masa hadapan ke Malaysia Timur dan pasaran luar negara. 

 

“Kami komited untuk terus mengukuhkan kedudukan Adnex sebagai penyedia perkhidmatan pengubahsuaian dalaman yang boleh dipercayai sambil memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya.

 

Public Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO ini.

 

Adnex Group Berhad beribu pejabat di Shah Alam dan terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran Malaysia dengan rancangan pengembangan ke Malaysia Timur dan pasaran luar negara terpilih, disokong oleh komitmennya terhadap inovasi, kecemerlangan operasi, dan pertumbuhan mampan dalam sektor binaan negara. - DagangNews.com