KUALA LUMPUR 23 April - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Baginda akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara itu.
Sultan Ibrahim bertitah jawatan berkenaan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020, bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya, tidak lama selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan 1.0
Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM selama empat tahun bermula 2016, selain menyandang jawatan Pengarah Perisikan dan Pengarah Siasatan.
Terkini timbul desakan kuat supaya Azam dipecat atau tidak dilanjutkan kontrak, susulan kontraknya yang telah dilanjutkan sebanyak tiga kali.
Isu dakwaan pemilikan saham luar biasa dalam syarikat tersenarai awam yang kini masih dalam siasatan menguatkan lagi desakan itu.
Azam bagaimanapun telah menafikan sebarang salah laku dan dakwaan tersebut.
Beberapa pemimpin politik semakin lantang mendesak agar Azam disiasat, termasuk bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ini termasuk seruan kepada orang ramai untuk menghadiri demonstrasi “Tangkap Azam Baki”, yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada hari Sabtu, 25 April ini. - DagangNews.com








