Sabah pertimbang bangunkan sistem rel moden hubungkan Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Pelabuhan Sepanggar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah pertimbang bangunkan sistem rel moden hubungkan Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Pelabuhan Sepanggar

Pelabuhan Sepanggar

KUALA LUMPUR 23 April – Sabah sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi sistem rel moden untuk laluan Putatan–Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Pelabuhan Sepanggar bagi memperkukuh rangkaian logistik negeri, kata Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman.

 

Beliau berkata kajian itu antara keutamaan kerajaan negeri dalam membangunkan infrastruktur pengangkutan bagi meningkatkan ketersambungan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di Sabah.

 

“Pelan Induk Pengangkutan Lestari Sabah juga akan dilaksanakan sebagai rangka kerja strategik jangka panjang untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang mampan, selamat dan efisien.

 

“Usaha ini turut disokong dengan pelaksanaan Program Transformasi Bas ‘Hop-On Hop-Off’ di Kota Kinabalu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan negeri pada pembukaan penggal kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 hari ini.

 

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Yang Dipertua DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.

 

Berkaitan sektor maritim, Tun Musa berkata alat bantuan navigasi dan naik taraf kemudahan, termasuk pembinaan Terminal Feri Menumbok Fasa 4 dan 5 serta beberapa jeti awam di lokasi strategik, sedang dilaksanakan sebagai langkah proaktif memperkukuh keselamatan maritim.

 

Bagi pembangunan utiliti di Sabah, beliau berkata kerajaan negeri akan memberi fokus kepada peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat, perluasan liputan bekalan air luar bandar serta pengurangan kehilangan air tidak terhasil (NRW).

 

Beliau berkata usaha ini termasuk projek pembinaan dan naik taraf loji rawatan air di seluruh negeri, selain program holistik pengurangan air tidak terhasil yang akan diperluaskan ke 12 daerah di Sabah.

 

t
Taman Perindustrian Kota Kinabalu

 

Pengurusan air kumbahan juga akan terus diberi perhatian bagi melindungi kesihatan awam, memelihara sumber air dan memastikan kelestarian alam sekitar.

 

“Kerajaan negeri juga akan memperkenalkan penggunaan teknologi geospatial dan sistem kompos dalam bekas (in-vessel composting) bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan pembetungan negeri,” tambahnya.

 

Tun Musa berkata kestabilan bekalan elektrik turut akan diperkukuh melalui pelan jangka panjang yang memberi tumpuan kepada kepelbagaian sumber penjanaan seperti tenaga boleh diperbaharui dan gas asli.

 

Beliau berkata sumber ini akan berfungsi sebagai loji ‘peaking’ serta disokong oleh sistem penyimpanan tenaga bateri dan teknologi baharu yang berkaitan.

 

“Selain itu, pengukuhan bekalan tenaga di Pantai Timur akan dipertingkat melalui pelaksanaan Projek Talian Penghantaran Southern Link Fasa 1A,” katanya.

 

Dalam perkembangan berasingan, Tun Musa berkata kerajaan negeri memandang serius peningkatan kekerapan banjir dan tanah runtuh serta melaksanakan langkah mitigasi bagi mengurangkan impak bencana pada masa depan.

 

Beliau berkata ia termasuk penambahbaikan pelan pencegahan banjir, skim mitigasi banjir, saliran bandar utama dan sistem amaran awal banjir.

 

“Selain itu, kerja-kerja pemulihan cerun berisiko dan penstabilan kawasan tanah runtuh juga diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kejadian tersebut.

 

“Peruntukan juga telah disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara jalan raya serta jambatan bagi memastikan infrastruktur pengangkutan yang rosak akibat bencana alam dapat dibaiki dengan segera,” katanya. – BERNAMA