KUALA LUMPUR 10 Okt - Kerajaan menegaskan komitmen untuk menoktahkan gejala buli yang disifatkan sebagai “jenayah senyap” yang membunuh potensi, meninggalkan trauma berpanjangan, malah meragut nyawa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 dalam sesi mesyuarat Parlimen kali ini sebagai langkah tegas membanteras gejala buli di semua peringkat — sekolah, universiti, tempat kerja dan alam maya.
Beliau menegaskan, seluruh jentera kerajaan merentasi pelbagai kementerian akan digembleng secara menyeluruh bagi memutuskan rantaian kezaliman itu melalui didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi.
"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai pelan holistik pencegahan buli di sekolah, yang turut memperkasa peranan guru dan murid menerusi Program Amalan Sekolah Penyayang.
"Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperkukuh keselamatan kampus melalui penambahan CCTV serta penganjuran program sahsiah dan kepimpinan mahasiswa sebagai langkah pencegahan terhadap insiden buli dan “ragging”," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, bagi menyokong kesejahteraan mental mangsa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyediakan sesi kaunseling berkelompok dan sokongan psikososial.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Komunikasi akan melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan murid, manakala Rakan Muda akan menggerakkan inisiatif “Lawan Buli” di peringkat akar umbi sebagai wadah advokasi belia.
Selaras dengan peningkatan kes penipuan dan ancaman digital, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut akan menggubal RUU Jenayah Siber bagi menangani jenayah siber secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kini menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi bagi memperkukuh kedaulatan digital serta keupayaan pertahanan siber negara.
"Selain itu, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) kini dikendalikan terus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pengurusan kes penipuan kewangan lebih pantas dan cekap, dengan peruntukan RM12 juta disalurkan bagi memperkukuh operasinya.
"Peranan Unit D11 PDRM turut diperkasa dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak di ruang siber, dengan RM20 juta diperuntukkan bagi pemodenan sistem forensik digital serta penubuhan Behavioural Science Unit, yang berperanan menganalisis pola tingkah laku dan profil jenayah," katanya.- DagangNews.com








