KUALA LUMPUR 24 Mac - AVM Cloud Sdn Bhd melancarkan AVM Cloud Fusion 2.0, generasi akan datang bagi rumusan awan hibrid inovatif, untuk membantu perniagaan menguruskan kemudahan awan dengan lebih selamat dan lebih fleksibel.
Dengan kerjasama unit di bawah LGMS Bhd, Applied Security Intelligence (ASI), ia menyediakan rumusan keselamatan kesinambungan perniagaan yang bersepadu bagi menangani ancaman digital yang semakin mendesak.
AVM Cloud Fusion 2.0 dibangunkan berdasarkan ciri-ciri generasi terdahulu, merangkumi semua keupayaan kuat AVM Cloud Fusion sambil memperkenalkan komponen baharu yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.
Versi terkini itu menawarkan keselamatan yang dipertingkatkan dan kecekapan operasi kepada perniagaan yang beroperasi dalam persekitaran awan hibrid.
Ketua Pegawai Eksekutif AVM Cloud, Kenny Lim berkata, AVM Cloud Fusion 2.0 adalah hasil daripada usaha tanpa henti syarikat dalam mencari inovasi dan komitmen untuk menyediakan rumusan keselamatan awan dan kesinambungan perniagaan terbaik untuk perniagaan Malaysia.
"Dengan ancaman siber yang sentiasa berkembang, kami perlu menawarkan sesuatu yang lebih daripada pengurusan awan konvensional.
"Itulah sebabnya kami bekerjasama dengan ASI untuk menyepadukan langkah-langkah perlindungan bertaraf tinggi secara langsung ke dalam rumusan kami, membolehkan perniagaan beroperasi dengan selamat di dalam awan," katanya dalam satu kenyataan.
Dengan kemampuan untuk mengimbas sehingga tiga segmen rangkaian atau sehingga 762 IP, AVM Cloud Fusion 2.0 memastikan keterlihatan dan perlindungan rangkaian yang menyeluruh.
Pemantauan masa nyata dan analitik canggihnya membolehkan perniagaan mengatasi ancaman yang berpotensi, manakala keupayaan pemulihan pantas sistem direka untuk meminimumkan masa henti, memastikan kesinambungan perniagaan.
Fusion 2.0 juga menawarkan rumusan pemulihan bencana yang fleksibel, disesuaikan untuk memulihkan sistem kritikal berdasarkan tahap kejadian, di samping Enforce Managed Service AVM Cloud, sebuah pasukan khusus yang memastikan sistem kekal selamat dan tahan lasak.
Pengurus Besar ASI, Chee Anne pula berkata, kerjasama dengan AVM Cloud dalam Fusion 2.0 adalah langkah besar dalam menggabungkan keselamatan perniagaan dengan pengurusan awan.
"Kami komited untuk membantu perniagaan mengukuhkan persekitaran digital mereka terhadap ancaman yang semakin meningkat.
"Dengan keselamatan canggih Fusion 2.0, kami menawarkan pertahanan proaktif untuk membantu perniagaan beroperasi dengan yakin di dalam awan," ujarnya. - DagangNews.com








