RSPO, ASB dan NASH meterai MoU perkukuh daya tahan pekebun kecil sawit Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RSPO, ASB dan NASH meterai MoU perkukuh daya tahan pekebun kecil sawit Malaysia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 4 NovRoundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO), Asia School of Business (ASB) melalui Center for Sustainable Small-Owners (CSS) dan National Association of Smallholders (NASH) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh daya tahan pekebun kecil sawit di Malaysia melalui latihan, kesediaan digital dan pembiayaan lestari.

 


Menurut kenyataan bersama yang diterbitkan hari ini, kerjasama strategik itu bertujuan membantu pekebun kecil menghadapi cabaran produktiviti dan piawaian kelestarian global, khususnya dalam konteks Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang semakin menuntut ketelusan rantaian bekalan.

 


Malaysia kini berada di persimpangan penting apabila lebih separuh daripada ladang sawit milik pekebun kecil berusia lebih 25 tahun, manakala populasi penanam semakin menua dengan memberi tekanan terhadap hasil dan pendapatan.

 


Presiden NASH, Adzmi Hassan berkata, kerjasama ini menandakan kembalinya semangat pemberdayaan yang menjadi asas pembangunan luar bandar Malaysia.

 


“Kerjasama ini bukan tentang menggantikan satu piawaian dengan yang lain, tetapi melengkapkan pekebun kecil supaya apabila mereka bersedia untuk RSPO, mereka juga secara semula jadi bersedia untuk Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Katanya lagi, MoU tersebut membuktikan bahawa pekebun kecil bukan masalah dalam rantaian nilai sawit, sebaliknya adalah penyelesaian utama bagi masa depan mampan industri itu.

 


“Dengan menyelaraskan piawaian nasional dan antarabangsa, kita menjadikan pematuhan sebagai peluang, mengembalikan maruah kepada pekebun kecil dan menjamin masa depan lestari Malaysia,” ujar beliau.

 


Sementara itu, Ketua Unit Pekebun Kecil RSPO, Guntur Cahyo Prabowo berkata, kerjasama seperti ini menunjukkan bagaimana Malaysia menterjemahkan dasar inklusif kepada pelaksanaan di lapangan yang memberi manfaat terus kepada pekebun kecil.

 


“Kelestarian tidak seharusnya menjadi halangan. Melalui perkongsian seperti ini, Malaysia membuktikan bahawa inovasi dan keterangkuman boleh bergerak seiring,” katanya.

 


Beliau turut memuji pendekatan kerajaan yang meletakkan pekebun kecil di teras dasar kelestarian, satu langkah yang katanya sedang diperhatikan oleh banyak negara jiran dan boleh dijadikan contoh di peringkat serantau.

 


Dekan Fakulti CSS ASB, Dr. Asad Ata pula berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen ASB untuk menterjemahkan penyelidikan kepada impak sebenar di lapangan.

 


“Ini ialah penyelidikan yang diterjemahkan kepada tindakan. Dengan menyelaras data, latihan dan sistem insentif, kita membantu pekebun kecil menjadikan pensijilan sebagai jalan ke arah ketahanan dan pertumbuhan,” katanya.

 


Kerjasama selama tiga tahun itu akan dilaksanakan secara berfasa merangkumi latihan amalan pertanian baik, pengurusan rekod dan pembangunan kepimpinan, selain memperkukuh pengumpulan data untuk ketelusan rantaian bekalan serta memperkenal insentif berasaskan kelestarian agar pengeluaran bertanggungjawab menjadi lebih menguntungkan dan mampan.

 


Menurut kenyataan itu, aktiviti awal melibatkan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan dan pemimpin komuniti sedang dirancang bagi memastikan pelaksanaan menyeluruh di peringkat akar umbi.

 


Kerjasama tiga hala ini diyakini bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit mampan serta membuktikan bahawa pembangunan dan kelestarian boleh dicapai secara inklusif dan berasaskan bukti. - DagangNews.com