KUALA LUMPUR 17 Feb - Syarikat pembinaan utiliti dan fabrikasi menara, Rohas Tecnic Bhd dan One Ocean Environment Sdn Bhd (OOESB) membentuk usaha sama (JV) untuk pembinaan dan penghantaran Fasa Pertama Skim Bekalan Air Sungai Rasau di Selangor bernilai RM123 juta.
Rohas Tecnic berkata, syarikat usaha sama tersebut akan memberi tumpuan kepada kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian kemudahan rawatan air serta projek berkaitan air sisa.
"Anak syarikat milik penuh Rohas-Euco Industries Bhd (REI) akan mengawal 51% daripada syarikat usaha sama, REI OOE Consortium Sdn Bhd, manakala OOESB mengawal 49% pegangan dalam usaha sama itu.
"Suntikan modal lanjut akan dilakukan mengikut keperluan untuk membiayai projek dan usaha sama akan datang," kata Rohas Tecnic dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia.
OOESB terlibat dalam perniagaan penyediaan kerja kejuruteraan rawatan air dan air sisa serta kerja-kerja kejuruteraan elektrik dan mekanikal.
Ia diketuai oleh bekas Pengarah Urusan YFG Bhd, Lim Chong Ling.
Projek Sungai Rasau dimulakan pada suku ketiga 2024 dan dijangka siap pada 14 Disember 2025.
Syarikat-syarikat itu menyatakan, usaha sama berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan Rohas untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024 dan 2025. - DagangNews.com








