KUALA LUMPUR 19 Mac - Rohas Tecnic Bhd memeterai perjanjian terma mengikat dengan Korea Water Resources Corporation (K-water) yang beribu pejabat di Korea Selatan untuk menjual 30% pegangan sahamnya dalam anak syarikat Vietnam, Phu My Vinh Construction and Investment Corporation (PMV) dengan nilai RM87.14 juta.
Rohas berkata, perjanjian terma itu berkuat kuasa dari 14 Mac 2025 hingga 30 April 2025 atau tarikh tandatangan perjanjian jual beli saham (SSA).
Syarikat tersebut juga menyatakan, kesan pro forma daripada penjualan berkenaan akan diperincikan dalam pengumuman susulan selepas pemeteraian SSA.
Selain itu, perjanjian terma tersebut tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa pengawal selia.
Rohas berkata, penjualan berkenaan membolehkan kumpulan membuka nilai pelaburannya dalam PMV dan menghasilkan pulangan segera, sekali gus mengukuhkan kedudukan tunai dan fleksibiliti kewangannya.
"Ia akan membolehkan syarikat untuk meneruskan inisiatif pertumbuhan dan pelaburan baharu yang meningkatkan nilai pemegang saham jangka panjang," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
PMV terlibat dalam pelaburan, pembinaan dan operasi loji rawatan air serta sistem bekalan air di Vietnam.
K-water dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Korea Selatan dan bertanggungjawab dalam pembangunan dan pengurusan sumber air di negara itu.
Aktiviti utama K-water melibatkan pembinaan, operasi dan pengurusan kemudahan air, sistem bekalan air, kompleks industri, zon tujuan khas, sistem pembetungan dan kemudahan tenaga boleh diperbaharui.
Modal saham yang diterbitkan oleh K-water adalah kira-kira RM35.16 bilion. - DagangNews.com








