RM2.56 bilion diperuntuk bagi perkukuh komunikasi digital negara, 2,700 tapak baharu di bawah JENDELA Fasa 2 - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM2.56 bilion diperuntuk bagi perkukuh komunikasi digital negara, 2,700 tapak baharu di bawah JENDELA Fasa 2 - Fahmi

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 13 Nov – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.56 bilion di bawah Belanjawan 2026 bagi memperkukuh rangka komunikasi negara menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di bawah Kementerian Komunikasi, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

 

Beliau berkata, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 2,700 tapak baharu sedang dibangunkan di bawah JENDELA Fasa 2 bagi menutup jurang digital dan memperluas akses Internet berkelajuan tinggi di seluruh negara.

 

Menurutnya, usaha itu turut disokong dengan peruntukan RM350 juta bagi menaik taraf Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara sebagai pusat komuniti maklumat sahih dan inklusi digital di peringkat akar umbi.

 

“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan setiap rakyat menikmati akses digital yang seimbang, berkualiti dan selamat. Melalui JENDELA dan inisiatif NADI, kita bukan sahaja menambah baik infrastruktur, tetapi juga memperkasa literasi digital masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCF Malaysia 2025) di ibu negara, hari ini.

 

Majlis tersebut disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang berkenan berangkat mencemar duli merasmikan pembukaan rasmi persidangan itu.

 

Bertemakan “Kemanusiaan Diperhebat: Mendefinisi Semula Perhubungan Awam dalam Era Kecerdasan”, GPRCFMY 2025 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu, di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), menghimpunkan lebih 800 peserta termasuk 250 peserta antarabangsa daripada pelbagai sektor perhubungan awam, diplomasi, media dan strategi digital.

 

Menurut Fahmi, kerajaan turut memperkukuh ekosistem maklumat nasional melalui penubuhan Majlis Media Malaysia yang berfungsi sebagai badan kawal selia kendiri di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025.

 

“Majlis ini memainkan peranan penting dalam menegakkan etika kewartawanan tertinggi, memupuk pelaporan bertanggungjawab dan memperkukuh kepercayaan awam terhadap media negara,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 memperkukuh akauntabiliti platform digital dengan mewajibkan langkah keselamatan dalam talian bagi membendung kandungan berbahaya dan mengelirukan.

 

“Akta ini turut mewajibkan pelabelan jelas bagi bahan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), serta melindungi pengguna rentan, khususnya kanak-kanak, daripada pendedahan terhadap amalan tidak selamat di alam maya,” jelasnya.

 

Fahmi berkata, langkah-langkah tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan ekosistem digital yang berintegriti, telus dan selamat untuk semua rakyat Malaysia, sambil melindungi masyarakat daripada ancaman maklumat palsu dan disinformasi.

 

“Ini bukan soal mengawal, tetapi soal akauntabiliti dan kejelasan. Setiap rakyat berhak menikmati keselamatan dalam talian sebagaimana mereka menikmati keselamatan di dunia sebenar,” katanya.

 

Beliau berkata, komunikasi yang beretika dan berasaskan nilai kemanusiaan perlu menjadi tunjang kepada pembangunan digital negara agar teknologi tidak mengatasi nilai empati dan kejujuran.

 

“AI boleh mencipta kata, imej dan emosi, tetapi hanya manusia mampu memberikan makna, nurani dan konteks. Di sinilah peranan pengamal komunikasi menjadi amat penting, menyampaikan mesej dengan hati, bukan sekadar dengan algoritma,” katanya lagi.

 

Fahmi turut mengajak para pengamal komunikasi untuk memperkukuh standard industri dengan mengangkat nilai ketelusan, memperluas mentor-mentee profesional, serta memupuk komunikator beretika dan celik teknologi melalui kerjasama dengan universiti dan sektor swasta.

 

“Jika kandungan bersifat sintetik, nyatakan. Jika data tidak lengkap, akui. Jika fakta berubah, pandu masyarakat melalui perubahan itu. Kredibiliti yang dibina atas kejujuran akan kekal lebih lama daripada sebarang kempen yang paling meyakinkan,” ujarnya.

 

Beliau turut menyeru agar pengamal perhubungan awam menjadikan komunikasi sebagai kuasa lembut (soft power) negara dalam memperkenalkan Malaysia ke mata dunia, dan dunia kepada Malaysia.

 

“Melalui kisah yang kita bawa, dunia akan melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif, inklusif dan yakin dengan identitinya sendiri,” katanya.

 

Persidangan tiga hari itu dianjurkan oleh MCMC dan HRDCorp dengan kerjasama Public Relations Practitioners Society of Malaysia (PRactitioners), disertai pelbagai organisasi profesional termasuk PRCA, IPRM, PRCM, IPRS, CIPR dan IABC yang memperkukuh jaringan komunikasi serantau dan global. - DagangNews.com