KUALA LUMPUR 16 Jun - Prospek pertumbuhan pengeluaran yang lebih kukuh serta jangkaan harga minyak sawit mentah (CPO) yang kekal tinggi mendorong firma penyelidikan MBSB Research menaik taraf saham Sarawak Plantation Bhd (SPB) kepada saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.90 berbanding RM3.55 sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, semakan dibuat selepas pertemuan dengan pihak pengurusan SPB, selain mengambil kira pelarasan unjuran pendapatan berdasarkan EPS FY27 sebanyak 39 sen yang dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 10 kali.
Katanya, pertumbuhan pendapatan kumpulan dijangka disokong oleh kematangan kira-kira 1,500 hektar kawasan ladang sepanjang FY26 hingga FY27 yang akan meningkatkan pengeluaran tandan buah segar (FFB), hasil ladang dan kadar perahan minyak (OER).
Menurutnya, keadaan El Niño yang mula muncul berpotensi mengetatkan bekalan minyak sawit di peringkat serantau dan menyokong harga CPO yang lebih tinggi sehingga suku ketiga tahun kalendar 2026.
"Keadaan itu dijangka memberi manfaat kepada margin segmen huluan SPB yang mempunyai hubungan rapat dengan pergerakan harga CPO.
"Selain itu, pendedahan operasi syarikat yang 100% tertumpu di Malaysia membolehkannya mengelak risiko berkaitan perubahan dasar dan peraturan yang sedang berlaku di Indonesia," katanya dalam nota kajian hari ini.
MBSB Research berkata, SPB mempunyai korelasi sejarah yang tinggi dengan harga CPO, iaitu sekitar 0.89, sekali gus menawarkan potensi pulangan yang lebih menarik sekiranya komoditi tersebut meneruskan aliran kenaikannya.
Dari segi operasi, pihak pengurusan telah menyemak semula sasaran pengeluaran FFB FY26 kepada kira-kira 410,000 tan daripada 450,000 tan sebelum ini berikutan keadaan cuaca yang lebih kering.
Bagaimanapun, sasaran baharu itu masih mewakili pertumbuhan 13.6% berbanding pengeluaran FY25 sebanyak 360,993 tan.
Jumlah hujan di kawasan operasi SPB dilaporkan merosot kira-kira 40% tahun ke tahun sehingga Mei 2026, menyebabkan proses kematangan buah menjadi lebih perlahan.
Namun begitu, prestasi hasil kekal kukuh pada kadar 3.80 tan metrik sehektar bagi suku pertama FY26, sekali gus mengatasi purata industri perladangan di Sarawak.
Ladang Belum Matang Pemangkin Pertumbuhan
MBSB Research berkata, kira-kira 30% daripada kawasan ladang SPB masih berada dalam kategori belum matang, yang dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan pengeluaran dalam tempoh akan datang.
Pada masa sama, jumlah FFB yang diproses menurun 13% kepada 101,000 tan walaupun pengeluaran daripada ladang sendiri meningkat 7% tahun ke tahun.
Penurunan itu disebabkan pembelian hasil luar yang lebih rendah susulan amalan perolehan yang lebih ketat serta aktiviti penanaman semula oleh dua pembekal utama.
Bagaimanapun, ladang milik sendiri menyumbang 63% daripada jumlah bekalan ke kilang pada suku berkenaan berbanding hanya 37% daripada sumber pihak ketiga.
Perkembangan itu mencerminkan tahap sara diri yang semakin baik selain meningkatkan kawalan kualiti terhadap hasil tanaman kumpulan.
"Gabungan pertumbuhan pengeluaran, profil umur ladang yang menggalakkan dan prospek harga CPO yang lebih kukuh menjadikan SPB antara syarikat perladangan yang berada pada kedudukan baik untuk mencatatkan prestasi lebih mantap dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com








