KUALA LUMPUR 16 Jun – Country Heights Holdings Bhd (CHHB) kini dalam proses mencari Ketua Pegawai Eksekutif baharu selepas penyandangnya, Mohd Rizal Zubair meletakkan jawatan hanya selepas lebih kurang dua bulan menerajui syarikat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CHHB berkata peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 15 Jun 2026.
Menurut syarikat, keputusan tersebut dibuat atas sebab peribadi dan tidak melibatkan sebarang isu dalaman atau ketidaksefahaman dengan lembaga pengarah.
“Tiada perkara lain yang dianggap material atau perlu dibangkitkan kepada pemegang saham berhubung peletakan jawatan itu,” katanya.
Mohd Rizal sebelum ini dilantik sebagai CEO pada 15 April 2026, namun tempoh perkhidmatannya menjadi singkat apabila beliau berundur selepas sekitar dua bulan berkhidmat.
Beliau mempunyai latar belakang luas dalam pengurusan korporat dan pernah mengetuai UKM Holdings Sdn Bhd, selain mengurus pelbagai bidang termasuk pelaburan, penjagaan kesihatan, perundingan dan hartanah.
Syarikat ketika ini masih berdepan tekanan prestasi kewangan apabila mencatatkan kerugian berterusan dalam beberapa suku kewangan terakhir,
Bagi tempoh terkini, CHHB merekodkan kerugian bersih RM2.37 juta dengan hasil RM6.73 juta, mencerminkan cabaran operasi yang masih berlarutan.
Walaupun begitu, CHHB memberi jaminan aktiviti perniagaan serta projek yang sedang berjalan tidak terganggu dan akan terus dikendalikan oleh pasukan pengurusan sedia ada di bawah pemantauan lembaga pengarah.
Dalam masa sama, syarikat telah memulakan proses mengenal pasti calon CEO baharu dan akan mengumumkan pelantikan sebaik proses tersebut dimuktamadkan. - DagangNews.com








