KUALA LUMPUR 16 Jun - Pengeluar dan peruncit barang kemas, Poh Kong Holdings Bhd mencatatkan prestasi suku tahunan terbaik sejak disenaraikan pada 2004 apabila merekodkan hasil dan keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat, disokong oleh kenaikan harga emas serta permintaan yang kekal kukuh.
Bagi suku ketiga berakhir 30 April 2026 (3Q FY2026), keuntungan bersih kumpulan meningkat 47.1% kepada RM70.02 juta berbanding RM47.6 juta yang dicatatkan setahun lalu.
Hasil pula meningkat 9.7% kepada RM585.57 juta daripada RM533.93 juta sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Poh Kong berkata prestasi yang lebih kukuh itu didorong terutamanya oleh segmen peruncitannya yang mendapat manfaat daripada harga emas yang lebih tinggi sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut syarikat itu, peningkatan harga emas bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan jualan, malah turut membantu meningkatkan margin keuntungan keseluruhan kumpulan.
Tiada dividen diisytiharkan bagi suku yang ditinjau.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 April 2026, keuntungan bersih Poh Kong melonjak 59.5% kepada RM157.17 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 17.5% kepada RM1.55 bilion.
Kumpulan itu berkata, industri barang kemas Malaysia terus menunjukkan daya tahan sepanjang 2025, disokong oleh permintaan domestik dan antarabangsa yang stabil.
Poh Kong menjangkakan sektor tersebut akan terus mendapat sokongan daripada minat berterusan terhadap pelaburan emas serta penggunaan barang kemas dalam kalangan pengguna.
"Walaupun berdepan cabaran seperti inflasi dan turun naik mata wang, kami percaya pembelian emas yang kukuh oleh bank-bank pusat, perbelanjaan pengguna yang berterusan serta aliran masuk ke aset selamat berikutan ketidaktentuan geopolitik global akan terus memacu permintaan terhadap barang kemas dan produk pelaburan emas.
"Kumpulan juga yakin mempunyai langkah-langkah yang mencukupi untuk mengurus cabaran semasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 sambil terus memantau faktor luaran yang boleh memberi kesan kepada operasi," katanya.
Harga emas global sebelum ini mencatatkan kenaikan ketara susulan ketegangan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah, sekali gus menyokong prestasi syarikat-syarikat berkaitan emas termasuk Poh Kong.
Prestasi memberangsangkan yang dicatatkan kumpulan itu menunjukkan kedudukannya yang kukuh dalam industri barang kemas tempatan, selain keupayaannya memanfaatkan persekitaran harga emas yang tinggi untuk menjana pertumbuhan pendapatan dan keuntungan. - DagangNews.com








