RM13 juta denda, 64 siasatan aktif: SC perketat buru salah laku pasaran modal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM13 juta denda, 64 siasatan aktif: SC perketat buru salah laku pasaran modal

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 22 April - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempunyai 64 kes siasatan yang masih berjalan pada penghujung tahun lalu, dengan tumpuan utama terhadap salah laku korporat, manipulasi pasaran dan perdagangan orang dalam.

 

Jumlah itu meningkat sedikit berbanding 62 kes yang direkodkan pada hujung 2024, menurut Laporan Tahunan SC 2025 hari ini.

 

Sepanjang siasatan dijalankan, SC telah merakam keterangan daripada 335 individu, di mana lebih dua pertiga terdiri daripada pengarah, pengurusan kanan dan pekerja syarikat tersenarai awam; profesional seperti jurubank pelaburan, juruaudit dan peguam; pelabur dan pemegang akaun; serta individu dan entiti berlesen.

 

“Sepanjang tahun, sebanyak 1,152 notis untuk mengemukakan dokumen telah dikeluarkan dan 10 serbuan telah dijalankan bagi mendapatkan dokumen di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia,” katanya.

 

Dalam aspek perundangan, SC telah menyelesaikan 10 tindakan jenayah tanpa sebarang rayuan tertunggak serta lima kes sivil.

 

Kes jenayah yang diselesaikan itu menyaksikan sembilan individu disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM13.1 juta. Sementara itu, hasil pelucuthakan dan penalti sivil daripada kes sivil yang selesai berjumlah RM2.07 juta.

 

38 kes masih berjalan, pemulangan dana pelabur diteruskan

Pada masa sama, masih terdapat 38 kes yang sedang berjalan di peringkat perbicaraan atau rayuan sehingga akhir 2025.

 

SC turut memulangkan semula wang kepada 239 pelabur pada 2025 berjumlah RM1.98 juta. Selain itu, sebanyak RM8.63 juta telah diperuntukkan untuk proses pemulangan melibatkan 993 pelabur lain.

 

Dari segi tindakan penguatkuasaan, SC mengambil tindakan pentadbiran terhadap 34 individu dan entiti.

 

Secara keseluruhan, jumlah sekatan yang dikenakan pada 2025 ialah 99 kes, menurun berbanding 125 kes pada 2024.

 

Nilai keseluruhan penalti turut berkurang kepada RM8.28 juta, iaitu penurunan 39.7% daripada RM13.72 juta pada tahun sebelumnya.

 

Aduan awam meningkat, kesedaran pelabur makin tinggi

Dalam perkembangan berasingan, SC memaklumkan jumlah aduan dan pertanyaan daripada orang awam meningkat, mencerminkan tahap kesedaran dan sikap lebih berwaspada dalam kalangan pelabur.

 

Jumlah keseluruhan kes meningkat 22% kepada 6,893 pada 2025 berbanding tahun sebelumnya. Aduan pula meningkat lebih 15% kepada 4,431 kes, manakala pertanyaan meningkat 26% kepada 2,462 kes.

 

Sekitar 61% daripada aduan berkaitan aktiviti tidak berlesen dan penipuan pelaburan, manakala 70% daripada pertanyaan turut berkait isu sama.

 

Taktik scammer semakin licik, eksploitasi emosi pelabur

“SC mendapati perkembangan ini menggalakkan kerana ia mencerminkan kesedaran awam yang lebih tinggi serta sikap berhati-hati, di mana orang ramai mengambil langkah untuk menyemak dengan SC sebelum melabur,” katanya.

 

Menurut SC, penipuan pelaburan merangkumi pelbagai bentuk termasuk produk pelaburan tidak wujud, manakala aktiviti tidak berlesen melibatkan individu atau entiti yang menjalankan perniagaan terkawal tanpa lesen atau pendaftaran dengan SC.

 

Perbezaan utama antara penipuan pelaburan dan scam lain terletak pada bentuk penipuan serta fokus aktiviti penipuan tersebut.

 

SC turut menjelaskan bahawa taktik penipu semakin berkembang dengan mengeksploitasi kecenderungan tingkah laku pelabur bagi memperdaya orang awam.

 

Berdasarkan analisis aduan dan pertanyaan pada tahun lalu, antara taktik yang dikenal pasti termasuk manipulasi ketamakan dan ketakutan terlepas peluang (FOMO), penciptaan kredibiliti palsu dan bukti sosial, pendekatan peribadi dan manipulasi hubungan, eksploitasi produk tular serta kelemahan pelabur, serta penggunaan platform tidak berlesen dan aplikasi menipu.

 

Trend baharu pula termasuk iklan pembelajaran pelaburan palsu dalam talian, peniruan alat semakan pelaburan SC serta daftar awam pemegang lesen, penyalahgunaan mata wang kripto untuk pemindahan dana, dan penggunaan akaun bank syarikat berdaftar SSM untuk menerima dana haram. - DagangNews.com