Rivertree STF Synergies peroleh kontrak RM2.3 juta bina kuarters pekerja berpusat di Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rivertree STF Synergies peroleh kontrak RM2.3 juta bina kuarters pekerja berpusat di Klang

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 Mac - Rivertree STF Synergies Berhad menerima surat penganugerahan (LOA) yang bertarikh 16 Mac 2026 bagi pembinaan bernilai RM2.255 juta daripada Q Centre (Teratai) Sdn Bhd.


Ia melibatkan penyediaan kerja tanah, penanaman cerucuk dan kerja penutup cerucuk pembangunan dua blok kuarters pekerja berpusat (CLQ) dengan mempunyai kapasiti 4,560 katil di Klang, Selangor.


Kumpulan tersebut, yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Sinmah Capital Berhad menambah, projek terbaharu berkenaan turut melibatkan pembinaan satu unit gimnasium dan satu unit kedai komersial.


"LOA bagi tender berkenaan diterima oleh anak syarikat milik penuh Rivertree STF Synergies, RSSB Builders Sdn Bhd," kata kumpulan tersebut dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Menurutnya lagi, tempoh kontrak pembangunan terkini berkenaan adalah selama lima bulan, dengan kerja sudah bermula dari 3 Februari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 Jun 2026.


Penerimaan LOA ini jelasnya, adalah sebahagian daripada urusan perniagaan biasa RSSB Builders dan akan menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan serta melengkapkan operasi sedia ada.


Projek ini juga tambah Rivertree STF Synergies, dijangka memberikan sumbangan yang positif kepada pendapatan sesaham (EPS) dan aset bersih syarikat itu bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.


"Pemberian kontrak ini turut melibatkan transaksi pihak berkaitan memandangkan beberapa pengarah dan pemegang saham utama didapati memiliki kepentingan dalam Q Centre sendiri," katanya lagi.


Antaranya Datuk Leong Sai Mun dan Datuk Wira Yan Lee Chin, namun individu berkepentingan tersebut berkecuali daripada semua perbincangan dan pengundian berhubung pemberian kontrak berkenaan.


Sebelum ini, RSSB Builders menandatangani Perjanjian Dasar (HOA) dengan beberapa pihak termasuk Q Centre bagi membina empat buah CLQ dengan nilai yang mencecah RM600 juta. - DagangNews.com