KUALA LUMPUR 24 Mac - Kadar inflasi Malaysia terus menunjukkan trend sederhana, namun risiko kenaikan harga barang dijangka meningkat susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB)
Firma penyelidikan itu berkata, prospek inflasi kekal terkawal buat masa ini, disokong oleh pengukuhan nilai ringgit yang membantu mengurangkan kos import serta kesinambungan subsidi bahan api oleh kerajaan.
Katanya, pada Februari 2026 apabila kedua-dua inflasi keseluruhan dan teras mencatatkan penyederhanaan dengan inflasi keseluruhan meningkat pada kadar 1.4% tahun ke tahun berbanding 1.6% pada Januari 2026, manakala inflasi teras turut menyusut kepada 2.0% daripada 2.3% sebelum ini.
Maybank IB menjangkakan inflasi bagi keseluruhan tahun 2026 akan berada pada purata 1.8%, sebelum meningkat kepada 2.1% pada 2027, berbanding 1.4% yang direkodkan pada 2025.
Risiko kenaikan harga semakin meningkat
Menurut Maybank IB, perkembangan terkini di Timur Tengah mula memberi tekanan kepada harga komoditi global, khususnya minyak mentah, yang berpotensi mengubah landskap inflasi semasa.
Lonjakan harga bahan api yang ketara pada Mac 2026 menyaksikan harga RON95, RON97 dan diesel tanpa subsidi meningkat masing-masing lebih 20% hingga 50% berbanding akhir Februari.
Firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa peningkatan berterusan harga minyak mentah boleh memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan dan utiliti, sekali gus menolak inflasi ke paras lebih tinggi.
“Setiap kenaikan 10% harga minyak mentah global dianggarkan boleh meningkatkan inflasi Malaysia sekitar 0.2 mata peratusan,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa komponen mencatatkan peningkatan harga yang lebih tinggi, termasuk barangan dan perkhidmatan penjagaan peribadi serta perlindungan sosial.
Harga minuman beralkohol dan tembakau turut meningkat, didorong oleh pelaksanaan kenaikan duti eksais yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Secara keseluruhan, Maybank IB menyifatkan inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal dalam jangka pendek, namun risiko luaran khususnya ketegangan geopolitik dan turun naik harga minyak mentah global terus menjadi faktor utama yang perlu dipantau.
Walaupun terdapat faktor penampan seperti pengukuhan ringgit dan subsidi bahan api, sebarang kejutan harga tenaga berpotensi memberi kesan lebih meluas kepada ekonomi domestik dalam tempoh akan datang. - DagangNews.com








