KUALA LUMPUR 11 Feb — Pengukuhan ringgit dan kenaikan kos bahan mentah menjadi isu kritikal yang dibimbangi boleh menekan margin Malaysian Pacific Industries Berhad sepanjang tahun kewangan 2026.
Bagaimanapun jelas TA Securities, langkah pengambilalihan kilang Infineon Technologies (Thailand) Limited di negara tersebut dijangka membuka laluan baharu kepada pertumbuhan hasil syarikat itu.
Ia menyatakan walaupun berdepan cabaran kos dan tekanan mata wang, kumpulan itu mencatat prestasi kukuh pada 1HFY26, dengan keuntungan teras naik 54.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM116.3 juta.
"Hasil melonjak 20.5% YoY kepada RM1.26 bilion, manakala segmen pelayan kecerdasan buatan (AI) kekal pemacu utama pertumbuhan, sementara segmen automotif ada pemulihan berperingkat," katanya.
Malaysian Pacific jelas TA Securities, berjaya menyiapkan proses pengambilalihan loji di Thailand, yang kemudiannya dinamakan sebagai Carsem Semiconductor (Bangkok) Limited, dengan 885 pekerja.
Fasiliti moden tersebut memiliki keluasan lantai 23,320 meter persegi, dan loji berkenaan kini menumpukan pada kerja-kerja pembungkusan memori untuk aplikasi sektor automotif dan industri.
Pengurusan merancang penstrukturan semula bagi menambah kapasiti pengeluaran, memperluas campuran produk dan membuka aliran hasil, dengan sasaran pendapatan AS$250 juta (RM981 juta) menjelang 2030.
"Selain itu, Malaysian Pacific menegaskan komitmen terhadap pelaburan dalam teknologi terkini, termasuk kenderaan elektrik (EV), AI, robotik, pengujian 5G, peranti sensor dan pembungkusan termaju," jelasnya.
Di samping itu tambah TA Securities, kumpulan berkenaan terus menilai peluang penggabungan dan pengambilalihan dengan mana-mana syarikat yang berpotensi besar menjana pulangan positif konsisten.
Justeru, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'pegang', namun harga sasaran sesaham pula dinaikkan kepada antara RM33.00 dan RM34.30, berdasarkan unjuran 30 kali perolehan pada CY27.
Ia menekankan potensi risiko Malaysian Pacific kepada bebanan pengeluaran lebih rendah berbanding jangkaan, ketegangan geopolitik, pengukuhan ringgit dan kenaikan harga komoditi secara mendadak.
"Cabaran kos dan mata wang memberi tekanan jangka pendek, tetapi loji di Thailand dan pertumbuhan segmen AI dijangka menyokong prospek jangka sederhana hingga panjang," katanya. - DagangNews.com








