KUALA LUMPUR 24 Jan - Nilai ringgit berbanding Amerika Syarikat (AS) dolar diunjur mencecah RM4.45, matawang tempatan itu diramal mempunyai ruang pertumbuhan pada jangka masa 12 bulan yang mampu mengukuhkan lagi kedudukannya, kata Ketua Ekonomi AmBank (M) Bhd Firdaos Rosli.
Beliau berkata, kitaran pelaburan tempatan masih bejalan dengan teguh yang berkemungkinan membawa kepada pertumbuhan ringgit dan produktiviti lebih tinggi walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu.
"Oleh itu, kami berpendapat ringgit kekal kukuh disokong baik oleh tinjauan domestik sihat," katanya semasa taklimat Tinjauan Makroekonomi bank hari ini.
Dari segi monetari, komitmen Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3%, digabung dengan pelonggaran Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan sebelum ini, harus mengekalkan kadar faedah antara Malaysia dan AS.
"Senario ini memberi petanda baik untuk potensi keuntungan ringgit, terutamanya apabila memfaktorkan metrik penilaian.
"Ringgit kekal di bawah nilai pada asas kadar pertukaran berkesan sebenar (REER) dan masih belum memperoleh semula nilai pra-pandemik," katanya.
Beliau juga meramalkan pemulangan balik hasil eksport tinggi boleh meningkatkan lagi nilai mata wang tempatan.
Katanya, deposit mata wang asing telah meningkat sejajar dengan kelemahan ringgit dan sebarang pemulangan balik hasil tersebut akan memberikan sokongan tambahan.
Firdaos menjangkakan BNM mengekalkan OPR dalam keadaan stabil sekurang-kurangnya sepanjang separuh pertama 2025.
“Walaubagaimanapun, apabila bank pusat antarabangsa meneruskan pelonggaran monetari, kami percaya BNM akan mengekalkan ruang dasar yang mencukupi jika terdapat risiko penurunan kepada pertumbuhan ringgit semakin meningkat.
"Memandangkan keadaan semasa, kami meramalkan perubahan kadar faedah mungkin lebih cenderung kepada pemotongan dan bukan kenaikan.
"Bagaimanapun, perubahan sebegini dijangka berlaku selepas suku ketiga 2025," katanya. - DagangNews.com








