RHB Research turunkan penarafan SP Setia kepada Neutral, potong unjuran pendapatan hingga 10% menjelang FY2028 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research turunkan penarafan SP Setia kepada Neutral, potong unjuran pendapatan hingga 10% menjelang FY2028

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 April – SP Setia Bhd dijangka berdepan tekanan margin yang semakin ketara dalam tempoh terdekat susulan peningkatan kos pembinaan, khususnya dipacu oleh kenaikan harga diesel dan bahan binaan, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu juga menurunkan penarafan saham SP Setia kepada Neutral daripada Trading Buy, dengan harga sasaran baharu ditetapkan pada RM1.07 sesaham berbanding RM1.20 sebelum ini, mencerminkan cabaran prospek pendapatan jangka pendek.

 

Pada harga semasa sekitar RM1.08, sasaran baharu tersebut memberi isyarat pulangan hampir mendatar dengan risiko penurunan kecil sekitar 1% yang menggambarkan sentimen berhati-hati terhadap sektor hartanah.

 

RHB Research turut mengurangkan unjuran pendapatan SP Setia bagi tempoh FY2026 hingga FY2028 masing-masing sebanyak 7%, 7% dan 10%, berikutan jangkaan margin pembangunan yang lebih lemah serta tekanan kos yang berterusan.

 

“Kenaikan kos diesel memberi kesan langsung kepada kos logistik dan pembinaan yang seterusnya meningkatkan harga bahan binaan serta menekan margin projek sedia ada yang sedang dilaksanakan.

 

“Dari segi prestasi pendapatan, SP Setia sebelum ini banyak disokong oleh aktiviti pelupusan tanah, namun sumbangan tersebut dijangka berkurangan dengan hanya satu transaksi utama bernilai RM273.5 juta yang melibatkan penjualan tanah 275 ekar di Semenyih kepada Mah Sing Bhd.

 

“Ketiadaan sokongan pelupusan tanah berskala besar seperti tahun-tahun sebelumnya menyebabkan pendapatan FY2026 dijangka lebih lemah, memandangkan margin pembangunan sedia ada juga berada pada tahap rendah akibat ketidakcekapan operasi,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Syarikat itu mencatat tahap gearing sekitar 33% hingga 34%, yang masih berada pada paras terkawal. Namun, paras ini menunjukkan ruang kewangan yang terhad untuk menyerap sebarang peningkatan kos tambahan pada masa hadapan.

 

Dalam masa sama, SP Setia mengekalkan sasaran jualan sebanyak RM4.6 bilion bagi tahun ini, walaupun keadaan pasaran hartanah dijangka lebih mencabar dengan ketidaktentuan permintaan dan kos.

 

Bagi mengurangkan tekanan aliran tunai, syarikat kini memberi tumpuan kepada strategi pembangunan bersama (JV), khususnya dalam segmen industri di Lembah Klang dan Johor tanpa perlu membeli tanah baharu, sekali gus mengurangkan keperluan modal.

 

Di utara Semenanjung, kira-kira 483 ekar tanah di Setia Fontaines telah ditukar kepada zon industri, selain kerjasama bersama Penang Development Corporation bagi pembangunan taman industri seluas 350 ekar, namun impak kewangan dijangka mengambil masa untuk direalisasikan.

 

Selain itu, SP Setia merancang untuk melaksanakan penyenaraian REIT menjelang 2027 dengan melibatkan lapan aset komersial dan runcit bernilai antara RM2 bilion hingga RM3 bilion, sebagai sebahagian daripada strategi pengurangan aset.

 

Namun begitu, RHB Research berpendapat kualiti aset yang bakal dimasukkan ke dalam REIT tersebut mungkin kurang kompetitif berbanding REIT utama lain di pasaran yang berpotensi mengehadkan penilaian semula oleh pelabur walaupun strategi ini dilihat positif dari sudut pengukuhan kunci kira-kira. - DagangNews.com