RHB Research ramal pendapatan sektor kesihatan swasta menurun pada suku pertama 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research ramal pendapatan sektor kesihatan swasta menurun pada suku pertama 2025

Gambar Ronaldo Pangan/Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Mac - Sektor kesihatan swasta dijangka mencatatkan pendapatan lebih rendah pada suku pertama 2025 berbanding suku sebelumnya, disebabkan oleh bulan puasa, menurut RHB Research.

 

Namun, pertumbuhan masa depan untuk sektor itu tetap menjanjikan, didorong oleh strategi pengembangan organik, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit dan pertambahan populasi yang menua.

 

RHB Research berkata, pelaksanaan mekanisme Diagnosis-Related Group (DRG) masih memerlukan kajian yang lebih mendalam dan kerjasama dengan pihak berkepentingan kerana setiap prosedur perubatan mempunyai kerumitan dan kos tersendiri.

 

DRG adalah sistem untuk mengkategorikan kes hospital kepada kumpulan yang dijangka menggunakan sumber hospital dengan kos yang hampir sama. 

 

RHB Research memberikan penilaian 'lebih berat' terhadap sektor ini.

 

Ia berkata, antara risiko utama yang boleh memberi kesan termasuk kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, bilangan pesakit yang lebih rendah, pertumbuhan hasil yang perlahan dan risiko peraturan.

 

"Walaupun isu peraturan berkaitan DRG boleh memberi kesan kepada sentimen pelabur dalam jangka pendek, kami percaya minat pelabur terhadap aset kesihatan yang baik tetap utuh kerana perubahan struktur jangka panjang yang dipacu oleh peningkatan populasi yang menua," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research meletakkan KPJ Healthcare Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor tersebut kerana ia memberi tumpuan kepada pasaran domestik, berbanding syarikat yang mempunyai pendedahan besar di luar negara yang mungkin menghadapi cabaran inflasi dan ketidakpastian geopolitik.

 

RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM3.08 sesaham untuk KPJ.

 

"KPJ disokong oleh pertumbuhan yang menggalakkan daripada hospital-hospital yang terus berkembang, kualiti pendapatan yang lebih baik dan inisiatif strategik untuk menaik taraf perkhidmatan hospital sedia ada.

 

"Pemacu utama pertumbuhan KPJ dijangka datang daripada sumbangan yang semakin meningkat daripada pelancongan kesihatan serta peningkatan kecekapan operasi dari hospital-hospital yang semakin matang," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Research berkata, pertumbuhan untuk IHH Healthcare Bhd dengan harga sasaran RM8.70, bergantung kepada pengembangan hospital baharu dan peluasan hospital sedia ada untuk memenuhi sasaran 4,000 tambahan katil menjelang 2028.

 

"Pelan pengembangan IHH kini termasuk Gleneagles Sarawak dengan 200 unit katil yang dijangka siap pada 2028 dan naik taraf Mount Elizabeth Hospital di Singapura dengan 56 bilik persendirian yang dijangka siap pada separuh kedua tahun ini," ujarnya.

 

Ia berkata, IHH akan terus berusaha memberikan rawatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan sambil memastikan pesakit mendapat pengalaman yang baik.

 

RHB Research juga menjangkakan trend pasaran yang menggalakkan di pasaran utama IHH akan menyokong pertumbuhan yang mampan.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu menyatakan, syarikat farmaseutikal Duopharma Biotech Bhd, dengan harga sasaran RM1.45, dijangka terus mencatatkan peningkatan jualan yang kukuh pada separuh pertama tahun ini, disokong oleh peruntukan kerajaan yang lebih tinggi untuk Kementerian Kesihatan.

 

Margin Duopharma dijangka meningkat secara berperingkat selepas harga bahan aktif farmaseutikal yang digunakan oleh Duopharma kembali stabil atau normal. - DagangNews.com