KUALA LUMPUR 7 April - RHB Research positif terhadap prospek pertumbuhan UEM Sunrise Bhd kerana kedudukannya sebangai antara pemaju hartanah utama Iskandar Malaysia.
Katanya, baru-baru ini kumpulan itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Guocoland yang berpangkalan di Singapura bagi membangunkan tanah terpilih di Gerbang Nusajaya menjadi taman perindustrian.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun perjanjian terperinci masih belum ditandatangani, pihak pengurusan menyatakan, pengezonan semula kawasan perindustrian telah pun selesai, dan kelulusan akhir daripada pihak berkuasa tempatan perlu diperoleh selewat-lewatnya pada Jun 2025.
"Pembinaan infrastruktur dan kerja tanah untuk taman perindustrian itu dijangka dimulakan tidak lama lagi, dan oleh itu taman perindustrian itu sepatutnya sedia untuk dipasarkan pada 2027.
"Walaupun Guocoland terkenal dengan pembangunan komersial dan kediaman premiumnya di Singapura, syarikat itu mempunyai pelanggan yang ramai dari Hong Kong dan China untuk jualan silang projek taman perindustrian ini kepada pengeluar/syarikat serantau," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, UEM Sunrise mencapai jualan hartanah RM1.42 bilion pada 2024 dan pada tahun ini mereka menetapkan sasaran jualan RM1.05 bilion disokong pelancaran baharu bernilai RM2 bilion.
Katanya, walaupun Subiaco di Perth akan menjadi projek utama memandangkan nilai pembangunan aksar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion, pelancaran di Malaysia kebanyakannya di Iskandar Malaysia - Estuari dan Aspira Hills dengan GDV gabungan sebanyak RM437 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, satu-satunya projek baharu di Lembah Klang ialah rumah bertanah di Serene Heights dengan GDV sebanyak RM78 juta.
"Kumpulan itu hanya mempunyai inventori tidak terjual sebanyak RM98 juta,"katanya.
RHB Research berkata, Iskandar Malaysia masih akan menjadi pemacu jualan utama mengikut kawasan geografi memandangkan insentif di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan keterlihatan penyiapan Sistem Transit Rapid pada penghujung 2026.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.28 sesaham.- DagangNews.com








