RHB Research menilai harga saham Pantech Global yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama pada 75 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research menilai harga saham Pantech Global yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama pada 75 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - RHB Research memberikan nilai wajar kepada Pantech Global Bhd pada 75 sen sesaham.

 

Penilaian tanpa penarafan itu adalah lebih tinggi sebanyak 10.3% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 68 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 6 Februari 2025.

 

Ia juga berdasarkan 11x FY26F P/E, iaitu pada diskaun kepada penilaian semasa Indeks Pengeluaran Perindustrian Bursa Malaysia sebanyak 17.5x.

 

Katanya, ini kerana tiada rakan setara setanding langsung yang disenaraikan di Malaysia.

 

"Penilaian sedemikian mewakili premium kepada penilaian semasa syarikat induknya, Pantech Group Holdings Bhd, memandangkan kepelbagaian industri yang kukuh dan pendedahan antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merupakan pengeluar keluli karbon dan kelengkapan kimpalan serta paip keluli tahan karat, memiiki pelanggan di Malaysia dan 27 pasaran asing melalui saluran pengedaran tidak langsung.

 

Katanya, ia mempunyai 16% bahagian pasaran daripada pengeluaran paip dikimpal keluli tahan karat Malaysia dan 66% bahagian pasaran dalam eksport kelengkapan paip kimpalan punggung Malaysia pada 2023.

 

Selain daripada jualan domestik, pasaran utama lain termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

 

"Paip dan kelengkapan dihasilkan di bawah piawaian industri yang ketat, dan digunakan dalam pelbagai industri yang memerlukan sistem penghantaran bendalir seperti minyak & gas, semikonduktor, penjanaan kuasa, farmaseutikal dan lain-lain," katanya.

 

Daripada jumlah RM178.32 juta yang diperoleh itu, sejumlah 37.75% atau RM67.32 juta, diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan, 36.27% atau RM64.68 juta, adalah untuk perbelanjaan modal dan 12.74% atau RM22.72 juta, diperuntukkan untuk modal kerja.

 

Sejumlah 8.41% atau RM15 juta, adalah untuk pembayaran balik pinjaman bank dan 4.83% atau RM8.6 juta, untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Alliance Islamic Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk IPO.- DagangNews.com