KUALA LUMPUR 13 Mei – Malaysia kini berada di ambang transformasi besar dalam sistem logistik negara apabila pembangunan “land bridge” yang menghubungkan rangkaian rel, pelabuhan dan pusat industri di seluruh Semenanjung mula menunjukkan impak ketara terhadap ekonomi, pasaran hartanah dan struktur perdagangan.
Menurut pandangan Irhamy Ahmad MRICS, Juruukur Bertauliah dan Ketua Pegawai Eksekutif Irhamy Valuers International (Juwai IQI), projek ini bukan sekadar infrastruktur pengangkutan, sebaliknya sedang membentuk semula aliran perdagangan negara, meningkatkan daya saing logistik serantau serta berpotensi menyumbang berbilion ringgit kepada KDNK Malaysia dalam tempoh jangka panjang.
Koridor Perdagangan Berasaskan Rel Malaysia
Irhamy berkata tahun 2026 adalah fasa paling penting apabila komponen utama land bridge mula beroperasi, termasuk Pelabuhan Darat Perlis (PIP) manakala pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada di fasa akhir sebelum operasi bermula.
“Ini adalah tahun paling kritikal dalam pembentukan koridor rel Malaysia yang menghubungkan utara ke selatan serta timur ke barat.
“Rangkaian ini menghubungkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas melalui sistem rel nasional yang lebih efisien, sekali gus membentuk koridor logistik darat baharu merentasi Semenanjung.
“Peralihan kargo daripada lori kepada rel dijangka mengurangkan kesesakan jalan raya, meningkatkan kecekapan logistik serta mengurangkan kos pengangkutan secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sektor logistik Malaysia diunjurkan berkembang kepada RM156.83 bilion (AS$40.11 bilion) menjelang 2031, meningkat lebih satu pertiga berbanding 2025.
Dalam jangka panjang, ECRL dijangka menyumbang sehingga 3.8% kepada KDNK Malaysia menjelang 2047, bersamaan kira-kira RM17.3 bilion setahun.
Dari sudut keselamatan, pengurangan penggunaan lori di jalan raya juga dianggarkan mampu menyelamatkan sekitar 73 nyawa setahun, berdasarkan penurunan 30% kargo lori. Statistik semasa menunjukkan kemalangan lori menyumbang kira-kira 242 kematian setahun.
Apabila beroperasi sepenuhnya, ECRL dijangka mengendalikan sekitar 13.7 juta tan kargo dan 5.6 juta penumpang.

Faedah Alam Sekitar dan Pengurangan Pelepasan Karbon
Dari perspektif alam sekitar, peralihan kepada pengangkutan rel dijangka memberi impak besar terhadap pengurangan pelepasan karbon negara.
Irhamy berkata ECRL dianggarkan mampu mengurangkan sehingga 1.2 juta tan pelepasan gas rumah hijau setahun kerana sistem rel jauh lebih cekap berbanding pengangkutan lori.
“Ketua Strategi Kumpulan Mutiara Perlis, Abbas Bilgrami - entiti perkongsian awam dan swasta yang membangunkan Pelabuhan Darat Perlis memaklumkan bahawa projek tersebut turut memberikan manfaat besar kepada alam sekitar, khususnya melalui pengurangan pelepasan karbon apabila sebahagian pergerakan kargo dialihkan daripada pengangkutan lori kepada rel.
“Menurut Abbas, walaupun hanya 20% kargo dari laluan selatan Thailand ke Pulau Pinang dipindahkan daripada lori ke rel, ia masih mampu mengurangkan sehingga 1.2 juta tan gas rumah hijau,” katanya.
Masa Perjalanan Lebih Cepat Mewujudkan Permintaan Hartanah Baharu
Menurut Irhamy, impak terbesar ECRL bukan hanya pada logistik, tetapi juga terhadap pasaran hartanah, khususnya di Pantai Timur.
“Apabila masa perjalanan dipendekkan, kawasan yang sebelum ini dianggap jauh kini menjadi lebih dekat dari segi ekonomi.
“ECRL akan mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Terengganu ke Gombak kepada kurang dua jam, berbanding enam hingga tujuh jam melalui jalan raya, dengan kelajuan sehingga 160 km/j.
“Perjalanan penuh laluan pula dijangka mengambil masa sekitar empat jam. Kawasan seperti Mentakab, Gemas, Bentong, Kuantan, Kemaman dan Kota Bharu dijangka menjadi hab pembangunan baharu melibatkan taman industri, logistik dan projek kediaman,” katanya.
Selain itu, harga tanah di kawasan sekitar stesen ECRL seperti Bentong, Kuantan, Kemaman dan Kota Bharu dijangka meningkat antara 30% hingga 50% menjelang 2031.
Beberapa projek hartanah turut mula mengambil kesempatan daripada pembangunan ini, termasuk Timur Bay Seafront Residence di Kuantan yang dijadikan contoh projek berasaskan nilai infrastruktur.
Kesan di Perlis dan Perdagangan Serantau
Di utara, Pelabuhan Darat Perlis dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu negeri itu.
Dengan pelaburan sekitar RM1.5 bilion oleh kerajaan dan sektor swasta, projek ini diunjurkan menjana impak ekonomi sehingga RM2.8 bilion, mewujudkan kira-kira 12,000 peluang pekerjaan serta meningkatkan perdagangan dengan Thailand sehingga 50%.
Namun begitu, Irhamy berkata pasaran hartanah di Perlis masih belum mencerminkan potensi pertumbuhan ini dengan harganya kekal antara yang terendah di Semenanjung Malaysia.
“Ini membuka peluang kepada pelabur awal kerana kesan pembangunan masih belum ‘priced in’ dalam pasaran,” katanya.

Lonjakan Pelancongan Pantai Timur
Sektor pelancongan Pantai Timur turut dijangka menerima manfaat besar daripada ECRL, khususnya dari segi akses ke destinasi pantai dan pulau peranginan.
Antara lokasi utama termasuk Cherating, Kuala Terengganu (pintu masuk ke Redang dan Lang Tengah), serta Kota Bharu (pintu masuk ke Pulau Perhentian).
Kemudahan ini dijangka merangsang pembangunan hotel baharu, resort, rumah kedua serta pasaran sewaan jangka pendek.
Secara keseluruhan, sektor pelancongan diunjurkan menyumbang sekitar RM8 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2030.
Risiko Masa dan Nasihat Pelaburan
Walaupun prospeknya kukuh, Irhamy mengingatkan bahawa pelaburan berasaskan infrastruktur tetap mempunyai risiko, khususnya dari segi masa pelaksanaan dan tahap pembangunan sebenar di lapangan.
Beliau menasihatkan pelabur supaya memberi fokus kepada kawasan yang sudah mempunyai asas ekonomi kukuh, di mana projek seperti ECRL bertindak sebagai pemangkin tambahan kepada pertumbuhan sedia ada.
“Pembangunan “land bridge” Malaysia yang menghubungkan rangkaian rel, pelabuhan dan pusat logistik dilihat sebagai strategi jangka panjang yang berpotensi mengubah struktur ekonomi negara.
“Ia bukan sahaja mampu meningkatkan KDNK, tetapi juga memperkukuh sektor logistik, mencipta peluang pekerjaan, merangsang pasaran hartanah serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan serantau.
“Dalam masa yang sama, projek ini turut dilihat sebagai langkah strategik untuk mengurangkan risiko gangguan perdagangan global, termasuk senario krisis laluan strategik seperti “Momen Hormuz” yang berlaku ketika ini,” katanya. - DagangNews.com








