KUALA LUMPUR 6 Feb - Revenue Group Bhd dan Datasonic Group Bhd bersetuju untuk melanjutkan tempoh rundingan mengenai pegangan 51% dalam Innov8tif Holdings Sdn Bhd.
Menurut kedua-dua syarikat itu, persetujuan tersebut menyaksikan tempoh bersyarat dalam perjanjian jual beli saham kini dilanjutkan dua bulan lagi sehingga 3 April 2025.
"Lanjutan ini memberi masa tambahan kepada kedua-dua syarikat untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli Saham (SSA), berkaitan pengambilalihan pegangan 51% dalam Innov8tif daripada Revenue Group dengan nilai RM40 juta secara tunai," jelas pemfailan bersama kedua-dua syarikat di Bursa Malaysia.
Innov8tif, sebuah syarikat teknologi yang berusia dua tahun, adalah pakar dalam rumusan pengesahan identiti digital seperti pengenalan pelanggan secara elektronik (e-KYC), pengenalan perniagaan secara elektronik (e-KYB), proses anti-penipuan, serta pengesahan biometrik mudah alih.
Pengambilalihan berkenaan dilihat sebagai langkah strategik bagi Datasonic untuk meningkatkan portfolio rumusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada dengan teknologi digital onboarding canggih dari Innov8tif, seperti yang dinyatakan syarikat sebelum ini.
Sekiranya pengambilalihan itu terlaksana, Datasonic akan menjadi syarikat tersenarai kelima yang terlibat dengan Innov8tif dalam tempoh kurang lima tahun.
Penjual, Revenue Group, membeli pegangan 51% dalam Innov8tif daripada Hong Seng Consolidated Bhd dengan harga RM36 juta secara tunai pada Mei 2023.
Hong Seng menjual pegangan tersebut 10 hari selepas mengambil alih Innov8tif daripada Innov8tif Consortium Sdn Bhd dengan harga RM30.9 juta secara tunai dan membuat keuntungan sebanyak RM5.15 juta.
Sebanyak 49% ekuiti baki Innov8tif dimiliki oleh Innov8tif Consortium Sdn Bhd, yang antara pemegang sahamnya termasuk beberapa individu terkemuka seperti Law Tien Soon, Lee Chin Seong, Soh Peng Nam, Law Seeh Key dan Securemetric Bhd yang tersenarai di Pasaran ACE.
Seeh Key juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Securemetric, penyedia rumusan keselamatan digital. - DagangNews.com








