KUALA LUMPUR 14 Mac - Ramssol Group Berhad melalui anak syarikatnya, RAMS Edutech Sdn Bhd, memeterai perjanjian dengan Clickgaming Distribution Group Sdn Bhd (CDG) untuk menawarkan kursus latihan Ergonomics: Principles and Practices di platform pembelajaran digital pertama di Malaysia, EnGo.
Kerjasama itu menegaskan komitmen kedua-dua syarikat dalam memajukan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja melalui pendidikan dan rumusan ergonomik.
RAMS EduTech, yang menyediakan pembelajaran digital menerusi platform EnGo, menawarkan kursus seperti latihan EXCEL17A untuk membantu perniagaan memperkukuh rangka kerja undang-undang dan pematuhan.
Sementara itu, CDG pula yang terkenal dengan produk kerusi ergonomik premium TTRacing, menyediakan keselesaan kepada pemain video profesional.
Menurut perjanjian tersebut, RAMS EduTech akan menyediakan Kursus Latihan Ergonomik melalui platform EnGo, memberi peserta pengetahuan asas mengenai prinsip kesihatan dan keselamatan tempat kerja dan amalan terbaik.
CDG pula akan menyumbang kandungan ergonomik eksklusif yang akan dibangunkan oleh Rams EduTech sebagai bahan latihan untuk dimuatkan dalam platform EnGo.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama berkenaan, RAMS EduTech akan membayar CDG sebanyak RM350 bagi setiap pengguna yang mendaftar dalam Kursus Latihan Ergonomik sepanjang tempoh perjanjian.
Sebagai balasan, CDG akan memberikan RAMS EduTech satu TT Airflex Ergochair bagi setiap pengguna berdaftar, memastikan peserta memperoleh pengetahuan teori serta rumusan ergonomik praktikal.
Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Ramssol, Ken Neoh berkata, kesejahteraan tempat kerja adalah elemen penting dalam kesihatan dan produktiviti pekerja.
"Melalui kerjasama dengan CDG, kami teruja menawarkan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh yang bukan sahaja mendidik individu mengenai amalan ergonomik yang betul, tetapi juga memberi mereka rumusan ergonomik berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam menggalakkan kesejahteraan dan produktiviti tempat kerja.
Dengan menggabungkan kepakaran RAMS EduTech dalam pendidikan digital dan kepimpinan CDG dalam rumusan ergonomik, inisiatif itu akan memanfaatkan profesional dan perniagaan dengan pengetahuan serta alat yang diperlukan untuk memperbaiki kesihatan dan keselamatan tempat kerja. - DagangNews.com








