KUALA LUMPUR 15 Jun – Rakuten Trade memulakan liputan terhadap Elsa Berhad dengan saranan “Beli” serta menetapkan nilai saksama pada RM0.33 sesaham dengan potensi kenaikan kira-kira 43% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.23.
Penilaian ini mencerminkan keyakinan Rakuten terhadap prospek pertumbuhan syarikat selepas penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada 16 Jun 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, penilaian terhadap Elsa tidak hanya bergantung kepada sentimen pasaran semata-mata, sebaliknya disokong oleh jangkaan pertumbuhan pendapatan yang stabil, model perniagaan yang boleh dikembangkan serta usaha transformasi ke arah operasi berasaskan teknologi.
“Elsa dilihat sedang melalui fasa perubahan daripada penyedia perkhidmatan minyak dan gas konvensional kepada sebuah platform perkhidmatan minyak dan gas (OGSE) yang lebih moden dan dipacu teknologi, termasuk automasi dan pendigitalan operasi.
“Syarikat ini mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri serta memegang status berlesen PETRONAS, yang menjadi kelebihan penting dalam mendapatkan projek serta kontrak dalam sektor minyak dan gas tempatan,” Rakuten dalam nota kajiannya.
Elsa beroperasi melalui empat segmen utama iaitu perkhidmatan medan minyak, rumusan digital, robotik dan kejuruteraan, serta penyelesaian bakat, yang membantu syarikat menjana pendapatan daripada pelbagai sumber.
Segmen robotik dan kejuruteraan menjadi antara tumpuan utama pertumbuhan syarikat, termasuk rancangan untuk memperkukuh keupayaan Kenderaan Bawah Air Autonomi (AUV) serta penggunaan dron bagi kerja-kerja pemeriksaan dan pemantauan aset industri.
Rakuten berkata perkembangan ini seiring dengan perubahan dalam industri OGSE yang semakin mengutamakan teknologi automasi, keselamatan operasi yang lebih tinggi serta kecekapan kos dalam aktiviti penyelenggaraan dan pemeriksaan.
“Selain itu, Elsa turut mengembangkan segmen digital yang merangkumi keselamatan siber, perkhidmatan awan, platform pembelajaran digital serta inisiatif pendigitalan industri bagi memperluaskan aliran pendapatan syarikat.
“Syarikat tersebut turut bekerjasama dengan 27 rakan teknologi multinasional yang membolehkannya menawarkan penyelesaian lebih canggih tanpa perlu menanggung kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tinggi secara dalaman,” katanya.
Dari sudut kewangan, Rakuten Trade mengunjurkan keuntungan bersih teras ELSA sebanyak RM11.9 juta pada tahun kewangan 2026 dan RM13.9 juta pada tahun kewangan 2027, disokong oleh pertumbuhan hasil yang konsisten.
Hasil syarikat pula dijangka meningkat daripada RM264.7 juta pada tahun kewangan 2025 kepada RM320.2 juta pada tahun kewangan 2027, menunjukkan trajektori pertumbuhan yang stabil dalam tempoh unjuran tersebut.
Pada masa sama, Elsa dijangka mengekalkan kedudukan tunai bersih selepas penyenaraian, yang memberi fleksibiliti kewangan kepada syarikat untuk mengembangkan operasi, menambah tenaga kerja mahir serta membida projek yang lebih besar.
Secara keseluruhan, Elsa dilihat menawarkan gabungan pendedahan kepada sektor OGSE dan transformasi teknologi, sekali gus menjadikannya antara IPO yang berpotensi menarik perhatian pelabur dalam jangka sederhana. - DagangNews.com








