KUALA LUMPUR 11 Mac – Malaysia bakal mencatat sejarah dengan pembangunan pusat data berskala besar pertama negara yang menerima pensijilan GreenRE Platinum, tahap tertinggi untuk bangunan lestari.
Pusat data ini dibangunkan oleh ZDATA Group Co., Ltd yang terletak di Gelang Patah, Johor.
ZDATA dalam satu kenyataan berkata pusat data tersebut direka untuk menyokong teknologi kecerdasan buatan (AI) dan menjadi contoh infrastruktur digital yang mesra alam di Malaysia.
“Pensijilan Platinum menunjukkan pusat data ini memenuhi standard kelestarian tertinggi, termasuk penggunaan tenaga cekap dan pengurusan sumber air yang bertanggungjawab.
“Salah satu ciri utama pusat data ini ialah ia beroperasi menggunakan 100 peratus air terawat semula. Air ini diproses melalui dua loji rawatan khusus berhampiran yang akan mengurangkan penggunaan air minuman biasa dan membantu mengekalkan bekalan air tempatan.
“Inisiatif ini sebahagian daripada Projek Air Khas Johor, yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk menggalakkan penggunaan air lestari dalam industri berimpak tinggi, khususnya sektor pusat data yang berkembang pesat,” katanya.
ZDATA merupakan antara syarikat terawal yang menyertai projek tersebut. Pusat data ini dibangunkan mengikut piawaian Tier 3+, yang memastikan prestasi operasi tinggi dan kebolehpercayaan yang optimum.

ZDATA berkata sistem penyejukan canggih dan pengurusan kuasa yang efisien membolehkan pusat data beroperasi dengan jejak karbon yang rendah.
“Projek pembangunan ini bernilai RM8 bilion dan dibina di tapak seluas 38 ekar. Setakat ini, 18 ekar telah dibangunkan, merangkumi Fasa 1 dan Fasa 2 projek.
“Fasa 1 dijadual mula beroperasi pada Mac 2026 manakala Fasa 2 sedang dijalankan dengan bangunan utama dan infrastruktur sokongan telah siap.
“Kerja akhir melibatkan bahagian dalaman sedang berjalan dan operasi dijangka bermula pada suku kedua 2026 manakala fasa selebihnya dijangka siap menjelang akhir 2027,” katanya.
Selain penggunaan air terawat semula, pusat data ini juga direka untuk kecekapan tenaga tinggi.
ZDATA telah menandatangani memorandum persefahaman untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui daripada ladang solar bermula 2028, menjana kira-kira 630,000 MWh setahun.
Reka bentuk pusat data ini termasuk sistem penyejukan gelung tertutup, bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) berkecekapan tinggi, dan seni bina pengagihan kuasa yang dioptimumkan.
Kesemua ini menyokong tahap penggunaan tenaga yang cekap (PUE), yang menjadi penanda aras penting bagi kecekapan pusat data.
ZDATA berharap pembangunan ini akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab serantau bagi infrastruktur digital lestari. Ia bukan sahaja menyokong pertumbuhan digital negara tetapi juga mempromosikan piawaian tinggi dalam kelestarian jangka panjang.
Pusat data ini juga menyokong ekosistem AI dan teknologi awan, membantu Malaysia membina infrastruktur digital yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.
Matlamatnya adalah menyokong inovasi, memperkukuh kesalinghubungan digital, serta mewujudkan nilai ekonomi dan komuniti.
Ditubuhkan pada 2014, ZDATA Group Co., Ltd. ialah penyedia utama perkhidmatan infrastruktur IT digital dengan lebih 30 pusat data hijau di China. Syarikat ini menggabungkan pembangunan dan operasi bertaraf antarabangsa dengan lebih 200 paten, komited untuk memajukan pusat data berprestasi tinggi dan lestari di seluruh dunia. - DagangNews.com








