Purata kos bahan mentah tinggi, untung bersih Seng Fong susut hampir 50% kepada RM8.81 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Purata kos bahan mentah tinggi, untung bersih Seng Fong susut hampir 50% kepada RM8.81 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Feb - Untung bersih Seng Fong Holdings Bhd pada suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) susut sebanyak 49.35% kepada RM8.81 juta berbanding RM17.4 juta kesan purata kos bahan mentah yang tinggi.

 

Kumpulan itu berkata, ia juga disebabkan berlakunya perbezaan masa antara purata harga jualan dan purata kos bahan mentah di dalam suku kewangan semasa dalam tinjauan.

 

Bagaimanapun, hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM361.99 juta berbanding RM287.64 juta pada 2QFY24 didorong peningkatan jumlah jualan sebanyak 7% kepada 44.17 tan metrik dalam segmen pemprosesan.

 

"Memandangkan kumpulan menggunakan pendekatan tambahan kos, purata harga jualan yang lebih tinggi hanya akan ditunjukkan atau menjadi kenyataan dalam tempoh berikutnya," katanya dalam atu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Untung bersih kumpulan bagi tempoh separuh pertama 2025 (1HFY25) menyusut kepada RM22.5 juta berbanding RM25.69 juta bagi tempoh sama tahun lalu disokong namun hasil bagi tempoh tersebut meningkat kepada RM721.93 juta berbanding RM507.03 juta pada 1HFY24.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu akan terus mempelbagaikan asas pelanggan dan meningkatkan kecekapan kos bagi memberikan hasil yang menguntungkan secara mampan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25).

 

Katanya, kumpulan itu akan meneruskan strategi itu dengan meningkatkan bahagian pasaran melalui peningkatan kadar penggunaan jumlah kapasiti tahunan dan pemprosesan automasi.

 

"Pemasangan peralatan pengilangan getah pintar yang menggunakan teknologi pintar, mengautomasikan barisan pemprosesan sedia ada dengan kawalan digital, dan penggunaan lengan robot dan kenderaan berpandu automatik.

 

"Kumpulan itu dijangka dapat mengurangkan sejumlah besar pekerja asing di bahagian pengeluaran selepas pelaksanaan automasi dalam proses pembuatan yang akan memberikan penjimatan dalam kos operasi pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com