KUALA LUMPUR 29 April – Puncak Niaga Holdings Berhad berjaya mengecilkan kerugian bersih secara ketara bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 didorong pelaksanaan disiplin kos lebih ketat.
Menurut kumpulan berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia, sumbangan pendapatan yang tinggi daripada segmen kejuruteraan alam sekitar dan pembinaan turut mengurangkan kerugian tersebut.
Justeru ujarnya, kerugian bersih syarikat itu dapat disusutkan kepada RM22.94 juta berbanding kerugian lebih besar sebanyak RM131.78 juta yang pernah dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
"Langkah pemulihan pada FY25 ini turut disokong oleh pengurangan perbelanjaan operasi dalam bidang bukan teras, serta margin pula lebih baik bagi projek-projek yang terpilih," tambah Puncak Niaga.
Hasil kumpulan meningkat kepada RM191.17 juta, daripada RM164.90 juta pada FY24, dipacu terutama oleh segmen kejuruteraan alam sekitar dan pembinaan yang mencatatkan hasil sebanyak RM43.08 juta.
Jumlah tersebut katanya, lebih besar berbanding hanya RM6.09 juta pada tahun sebelumnya, hasil kemajuan pesat pelbagai kerja utama seperti Projek Loji Rawatan Air Bukit Chupak di Kelantan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail berkata, walaupun syarikat masih dalam kedudukan rugi, pengurangan jurang berkenaan dilihat sebagai langkah yang bermakna.
"Kerugian sebelum cukai (LBT) juga susut daripada RM131.97 juta kepada RM25.85 juta, sekali gus menstabilkan prestasi syarikat yang kini memberi keutamaan kepada kecemerlangan operasi," katanya.

Pada masa sama tambah beliau, usaha pengukuhan aliran hasil secara berulang untuk membina daya tahan kewangan jangka panjang turut membantu memulihkan kedudukan kewangan kumpulan berkenaan.
Segmen konsesi dan pengurusan fasiliti pula kekal sebagai 'tiang kestabilan' Puncak Niaga dengan menyumbang hasil sebanyak RM128.79 juta, yang sedikit rendah berbanding RM129.09 juta pada FY24.
Ujarnya, walaupun jatuh kecil akibat pengurangan sumbangan pembekalan peralatan perubatan tambahan untuk Hospital Al-Sultan Abdullah, namun tahap keuntungan bagi segmen ini berjaya dikekalkan.
"Bagaimanapun, segmen perladangan menghadapi persekitaran yang mencabar dengan penurunan hasil kepada RM19.30 juta berbanding RM28.11 juta dicatatkan pada FY24 akibat pelbagai faktor," katanya.
Ini termasuk pengeluaran rendah tandan buah segar (TBS), masalah kekurangan pekerja, dan gangguan operasi daripada sekatan jalan oleh komuniti Penan berlaku antara akhir 2024 hingga awal 2025.
Melihat ke hadapan, Puncak Niaga menyatakan keyakinan berhati-hati terhadap prospek FY26, dengan menjangkakan segmen pembinaan akan terus mendapat manfaat besar daripada pelaburan sektor awam.
Antaranya dalam isu keterjaminan bekalan air, manakala segmen perladangan dijangka pulih secara beransur-ansur melalui penambahbaikan amalan agronomik dan pengurusan ladang yang lebih cekap.
Kumpulan kekal komited memberikan nilai kepada pemegang saham melalui pelaksanaan strategi berdisiplin dan fokus pertumbuhan mampan dalam sektor infrastruktur air dan alam sekitar. - DagangNews.com








