GEORGE TOWN 23 Dis - Kerajaan negeri Pulau Pinang bersetuju menaikkan kadar rebat cukai tanah bagi tahun 2026 kepada 50% daripada kadar yang diumumkan sebelum ini iaitu 32.5%, bagi meringankan beban kewangan pemilik tanah sambil memastikan peralihan kepada kadar cukai tanah baharu dilakukan secara berperingkat dan terkawal.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun, rebat cukai tanah tertakluk kepada kadar minimum yang ditetapkan, dan kadar cukai tanah baharu akan kekal berkuat kuasa untuk tempoh minimum 10 tahun seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara (Akta 828).
“Sehubungan itu, sekiranya jumlah cukai tanah selepas rebat adalah lebih rendah daripada jumlah yang dibayar pada tahun sebelumnya, jumlah sedia ada akan digunakan.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan keseimbangan antara kepentingan pemilik tanah dan keperluan hasil kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Selain rebat, beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju bahawa rayuan untuk pengurangan cukai tanah, tunggakan dan penalti lewat bayaran boleh dipertimbangkan melalui mekanisme rayuan di pejabat tanah untuk kes-kes tertentu.
Chow menjelaskan, pertimbangan rayuan turut meliputi pemilik tanah Gred Pertama yang terkesan dengan perubahan kadar berdasarkan penggunaan tanah semasa, serta pemilik tanah yang terlibat dalam proses penukaran klasifikasi tanah daripada luar bandar kepada bandar.
Beliau menegaskan semua permohonan dan keputusan rayuan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, dan mekanisme rayuan ini berfungsi sebagai saluran bagi pemilik tanah yang terkesan dengan pelaksanaan kadar cukai tanah baharu.
Chow turut memaklumkan bil cukai tanah akan dihantar kepada semua pemilik tanah pada pertengahan Januari, namun pemilik tanah boleh mula menyemak dan membayar bil secara dalam talian bermula 2 Januari.
Sebelum ini, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan pengecualian 100% bagi penalti lewat bayaran cukai tanah dan sewaan petak tertunggak dari 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2026, melibatkan jumlah tunggakan penalti sebanyak RM25 juta.
Pada 19 Sept, kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan penukaran klasifikasi tanah luar bandar kepada tanah bandar di seluruh Pulau Pinang, selaras dengan peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828), yang berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan.
Semakan kadar ini melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang, merangkumi pelbagai kategori dan penggunaan tanah termasuk kediaman, komersial, perindustrian, pertanian dan kategori khas lain. - BERNAMA








