PublicInvest ramal pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian 2026 ditekan kemerosotan eksport | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest ramal pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian 2026 ditekan kemerosotan eksport

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 FebPublic Investment Bank meramalkan kemerosoton eksport bakal menekan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) berikutan kelembapan dagangan global dan ketidaktentuan dasar.


Bagaimanapun menurut firma penyelidikan tersebut, indeks itu boleh naik 3.1% tahun ke tahun (YoY) pada 2026, susulan data Disember 2025 menunjukkan ia meningkat 4.8% YoY, melebihi jangkaan pasaran.


Perkembangan berkenaan jelas firma itu, didorong terutamanya oleh pengeluaran pembuatan (6.7% YoY) dan penjanaan elektrik (3.7% YoY), yang mengimbangi kelesuan aktiviti perlombongan (-2.5% YoY).


"Secara keseluruhan, IPI FY25 mencatat pertumbuhan sederhana (3.6% YoY), dengan sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan indeks," tambah PublicInvest dalam nota kajiannya hari ini.


Sementara itu, perlombongan dan elektrik menyumbang peningkatan terhad antara 0.6% hingga 0.8% YoY, manakala sektor pembuatan berorientasi eksport pula berkembang 7.5% YoY sepanjang Disember 2025.


Keadaan ini jelas firma penyelidikan tersebut, didorong oleh pengeluaran produk elektronik, optik dan komputer sebanyak 13.2% YoY, serta minyak dan lemak tumbuhan/haiwan kira-kira 18.1% YoY.


PublicInvest berkata, sektor berorientasi domestik mencatat 5.2% YoY, disokong pembuatan produk logam terhasil (7.3% YoY) dan logam asas (7.0% YoY), mencerminkan permintaan dan projek berterusan.


"Kami namun menekankan isu kelewatan, bukan kejatuhan, yang dijangka dalam aktiviti perindustrian pada 2026, dan pertumbuhan eksport diramal merosot akibat perdagangan global lebih lemah," tambahnya.


Kitaran elektrik dan elektronik (E&E) serta permintaan teknologi namun akan terus menyokong output pembuatan, selain dibantu integrasi serantau dan dasar perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS).


Usaha berkenaan jelas PublicInvest, berupaya dalam mengekalkan daya saing eksport, walaupun tindakan tarif AS baru-baru ini ke atas cip komputer termaju dinilai menimbulkan risiko sektoral.


Di peringkat domestik pula kata firma itu, permintaan stabil dan pelaksanaan projek infrastruktur serta industri berterusan dijangka memberikan penampan tambahan kepada aktiviti perindustrian.


"Kami menekankan bahawa risiko penurunan tertumpu pada segmen E&E yang terdedah kepada perdagangan luar negara, jika tarif atau pemecahan aktiviti dagangan global meningkat," tambahnya.


Secara keseluruan, PublicInvest menilai pertumbuhan IPI Malaysia 2026 sebagai terus positif tetapi sederhana, dengan sektor pembuatan dan permintaan domestik akan menjadi penampan yang utama.


Walaupun risiko luaran wujud, dasar perdagangan, integrasi serantau, dan kitaran teknologi memberi asas kukuh untuk aktiviti industri diimbangi oleh kekuatan domestik yang stabil. - DagangNews.com