KUALA LUMPUR 11 Mac - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) memberikan nilai wajar kepada syarikat kejuruteraan awam dan kerja tanah, Wawasan Dengkil Holdings Bhd, pada 30 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi sebanyak 20% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 25 Mac 2025.
"Kami percaya penilaian itu wajar, disokong pertumbuhan pendapatan daripada buku pesanan dan buku tender sedia ada.
"Kumpulan juga mencatatkan margin keuntungan bersih yang kukuh antara 6% hingga 11% berbanding rakan setaranya, 2% hingga 7%, dan menjangka untuk terus memberikan margin yang sama memandangkan keupayaannya untuk melaksanakan projek dengan berkesan dan cekap," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk berkembang dalam pasaran kerja kejuruteraan awam dan perdagangan khas tempatan, memberi tumpuan kepada projek berskala besar melebihi RM100 juta.
Katanya, sehingga 28 Januari 2025, dengan 14 projek sedang berjalan dengan nilai kontrak belum dibilkan sebanyak RM378.1 juta, kumpulan itu menyertai tender bernilai RM724.8 juta sambil memanfaatkan rekod prestasinya dalam projek infrastruktur utama seperti Central Spine Road dan transit aliran ringan (LRT) Laluan 3.
Selain itu, kumpulan itu juga sedang mengejar peluang dalam kerja infrastruktur ladang solar, setelah mengemukakan tender RM572.2 juta dalam projek berkaitan.
"Bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan operasi, kumpulan merancang membeli jentera pembinaan tambahan dan kenderaan komersial, termasuk jengkaut, kren mudah alih dan lori sampah, dalam tempoh 12 bulan selepas penyenaraian," katanya.
Wawasan Dengkil akan memperutukan lebih satu pertiga daripada hasil daripada IPO akan diperuntukkan untuk modal kerja projek.
Kumpulan itu jga akan memperuntukkan kira-kira 5% daripada wang yang dikumpul untuk modal kerja umum, manakala selebihnya digunakan untuk membayar pinjaman bank, membaik pulih pejabat dan menampung kos penyenaraian.
Sementara itu, jumlah RM13.5 juta daripada tawaran penjualan saham sedia ada akan diperoleh sepenuhnya oleh pemegang saham yang menjual, Pengarah Eksekutifnya, Lim Soon Yik dan keluarganya.
M&A Securities merupakan penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO itu, manakala Eco Asia Capital Advisory berperanan sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com








