PublicInvest: Harga timah semakin mahal akibat bekalan kurang kukuhkan prestasi Malaysia Smelting | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest: Harga timah semakin mahal akibat bekalan kurang kukuhkan prestasi Malaysia Smelting

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 April – Kenaikan harga timah ke paras hampir tertinggi dalam sejarah berikutan kekangan bekalan dijangka menjadi pemangkin utama prestasi Malaysia Smelting Corporation Berhad.


Menurut Public Investment Bank (PublicInvest) dalam nota analisisnya, perkembangan semasa tersebut sekali gus diyakini mengukuhkan prospek sektor perlombongan negara dalam tempoh jangka sederhana.


Ujar firma penyelidikan itu, harga timah kini berlegar AS$50,000 (RM198,586) satu tan di Bursa Saham London (LME), dan pernah melonjak hampir AS$57,000 (RM226,366) susulan konflik Timur Tengah.


"Ini amat mahal berbanding AS$30,000 (RM119,149) sepanjang 2025, kerana kebimbangan gangguan stok dari Myanmar dan Indonesia serta permintaan kukuh daripada peralihan tenaga dan digital," katanya.


Ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan dijangka berterusan dengan permintaan meningkat 3.5% sedangkan pertumbuhan bekalan kekal terhad, memberi kelebihan besar kepada Malaysia Smelting.


Sehubungan itu, PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' terhadap dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.60, bersandarkan 18 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi unjuran FY27.

 

Malaysia Smelting_DagangNews


Hasil lawatan tapak ke lombong terbuka Rahman Hydraulic Tin (RHT), firma itu menyatakan keyakinan terhadap peningkatan kecekapan operasi dan kadar pemulihan dalam bahagian perlombongan syarikat.


"Pengoperasian loji baharu berkenaan dijangka meningkatkan pengeluaran konsentrat timah kumpulan itu secara harian kepada 14 tan, berbanding hanya kira-kira 11 tan sebelum ini," tambahnya lagi.


Selain itu, Malaysia Smelting turut melabur RM10 juta untuk membina relau putar baharu di RHT yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2026, bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan bijih timah.


Relau ini ujar PublicInvest, mampu memproses 10 tan timah sehari dan membolehkan penukaran bijih dibuat di tapak, yang mengurangkan kos logistik, volum pengangkutan dan tahap keselamatan operasi.


Walaupun kos pengeluaran di tapak jelas firma penyelidikan itu, dijangka meningkat akibat kenaikan harga diesel, impak berkenaan dijangka diimbangi oleh harga jualan timah yang jauh lebih tinggi.


"Kami turut melihat potensi Malaysia Smelting mengembangkan peranan dalam rantaian bekalan mineral kritikal seperti nadir bumi, memandangkan pengalaman luas dalam industri perlombongan," katanya.


Kumpulan ini berada pada kedudukan strategik memainkan peranan lebih besar dalam industri ini sekiranya peluang muncul, sejajar dengan perkembangan sektor nadir bumi tempatan. - DagangNews.com