Public Bank berpotensi terus catat pertumbuhan stabil pada 2025 didorong perkembangan pinjaman, deposit - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Public Bank berpotensi terus catat pertumbuhan stabil pada 2025 didorong perkembangan pinjaman, deposit - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - Public Bank Bhd berpotensi untuk terus mencatat pertumbuhan stabil didorong perkembangan pinjaman serta deposit selain sasaran pembayaran dividen sebanyak 60% pada tahun ini, kata RHB Research.

 

Katanya, bagi 2025, pengurusan kumpulan memberi pandian pertumbuhan pinjaman serta deposit sehingga 6%, pemampatan margin faedah bersih (NIM) yang stabil, kos kredit satu digit dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 13%.

 

"Pengurusan menjangkakan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan automotif yang sihat untuk menyokong pertumbuhan pinjaman tetapi gadai janji dijangka sederhana disebabkan harga yang kompetitif.

 

"Mengenai kualiti aset, rumusan pinjaman bersindiket Hong Kong sepatutnya menarik perhatian kerana baki dalam buku adalah pinjaman yang lebih kecil yang telah disediakan secara konservatif.

 

"Akhir sekali, pihak pengurusan akan menguruskan penjualan saham Public Bank oleh kedua-dua pemegang saham utamanya dan LPI," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Public Bank meningkat 7.5% kepada RM7.15 bilion pada FY24, isytihar dividen 11 sen sesaham

 

Terdahulu, hasil kumpulan meningkat kepada RM27.20 bilion daripada RM25.41 bilion.

 

Keuntungan kasar meningkat 4.6% kepada RM8.93 bilion pada FY24, menyisihkan kemerosotan nilai muhibah sebanyak RM473.8 juta yang ditanggung untuk operasi Hong Kong kumpulan, keuntungan sebelum cukai kumpulan itu akan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 10.1%.

 

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) sahaja, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM1.8 bilion, meningkat daripada RM1.62 bilion pada 4QFY23, manakala hasil meningkat kepada RM7.06 bilion daripada RM6.55 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

 

RHB Research berkata, keputusan 4QFY24 kumpulan yang dilaporkan adalah selaras dengan sasaran, walaupun kemerosotan nilai muhibah dicatatkan telah diimbangi pembalikan tindanan pengurusan yang lebih tinggi.

 

"Kami tidak mempunyai kebimbangan besar terhadap kumpulan itu, walaupun penjualan saham oleh pemegang saham utamanya dan LPI Capital boleh menjadi tidak terjual dalam tempoh terdekat," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM4.80 sesaham. - DagangNews.com