Proven Venture Capital peroleh 7.4% saham Malaysian Genomics, muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proven Venture Capital peroleh 7.4% saham Malaysian Genomics, muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar  

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Proven Venture Capital PLT mengambil alih 7.4% saham Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) selepas memperoleh 9.8 juta sahamnya daripada pasaran terbuka.

 

Selepas pengambilalihan itu, firma modal teroka yang berpangkalan di Malaysia itu merupakan pemegang saham kedua terbesar syarikat genomik dan biofarmaseutikal tersebut.

 

Harga pembelian itu tidak didedahkan, tetapi saham MGRC ditutup pada 33 sen pada hari pengambilalihan iaitu 13 Februari 2025.

 

Berdasarkan harga penutup ini, anggaran nilai transaksi ialah RM3.23 juta.

 

Selain daripada Proven Venture, pemegang saham terbesar MGRC ialah firma perkhidmatan kewangan korporat Rinani Group Bhd, yang memegang 10.64% saham syarikat itu selepas diambil alihnya pada 22 Mac 2024.

 

Berdasarkan pemfailan, Proven Venture juga memegang pemilikan besar dalam beberapa syarikat tersenarai, termasuk 12.56% saham dalam Taghill Holdings Bhd, 6.08% kepentingan dalam Iconic Worldwide Bhd dan 2.61% saham dalam Yew Lee Pacific Group Bhd.

 

Pada Disember 2024, MGRC membatalkan cadangan penempatan persendirian sebanyak 10% daripada saham terbitannya untuk mengumpul RM4.98 juta selepas menilai semula kedudukan kewangan kumpulan. 

 

Katanya, lembaga pengarah syarikat sedang mempertimbangkan semula pengumpulan dana kumpulan itu untuk memenuhi komitmen kewangannya.

 

Prestasi kewangan MGRC tidak menentu dalam tempoh lima tahun yang lalu. 

 

Kumpulan itu telah mencatat kerugian sebanyak empat kali sepanjang tempoh lima tahun kewangan.

 

Dalam sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2024 (9MFY2024), kumpulan itu mencatat kerugian bersih RM3.67 juta dengan hasil RM4.48 juta. 

 

Akhir tahun kewangan kumpulan itu telah ditukar daripada 30 Jun 2023 kepada 31 Disember 2023. 

 

Oleh itu, tiada maklumat kewangan perbandingan tersedia untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com