KUALA LUMPUR 25 Jun - Proton meterai empat usaha sama dan dua perjanjian teknikal dengan vendor serta pembekal Geely bagi mempercepatkan pengeluaran komponen berteknologi tinggi untuk model akan datang, sekali gus mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan keupayaan vendor negara.
Langkah itu melibatkan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV), selain meningkatkan nilai tempatan serta memperkenalkan teknologi baharu ke dalam ekosistem automotif negara.
Ketua Pegawai Perolehan Proton, Wang Huaibing berkata, pembangunan dan pengeluaran komponen berteknologi tinggi perlu dibawa ke dalam ekosistem tempatan bagi menyokong model kenderaan akan datang.
"Perjanjian usaha dan teknikal ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk mengeluarkan kenderaan di Malaysia serta menyumbang kepada pembangunan hab automotif menerusi Automotive High Tech Valley (AHTV) yang diterajui pemegang saham syarikat," katanya dalam satu kenyataan.

Komponen itu termasuk sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS), sistem brek, lampu dan sistem pemanasan, pengudaraan dan penghawa dingin (HVAC).

Salah satu usaha sama melibatkan Delloyd Technology Berhad dan Imotion Automotive Technology (Suzhou) Co Ltd, pembekal utama sistem ADAS kepada OEM di China termasuk Geely, Zeekr, Chery dan Volvo.

Imotion dijangka membantu pembangunan dan pelaksanaan sistem ADAS untuk model AMA01, manakala Delloyd merupakan vendor jangka panjang Proton.
Bagi sistem brek, Peps JV (M) Sdn Bhd dan Liuzhou Sanly Autoparts Co Ltd menandatangani perjanjian yang menyaksikan PEPS JV mengendalikan pengeluaran komponen manakala Liuzhou Sanly bertanggungjawab ke atas pemasangan modular.

Jiangsu Dekai Auto Parts Co Ltd pula menjalin usahasama dengan JHM Consolidation Berhad dalam pembangunan lampu automotif.
Perjanjian itu membantu JHM beralih daripada pengeluar peralatan gantian (REM) kepada pengeluar peralatan tulen (OEM) untuk model Proton akan datang.

Sementara itu, Trillion Speed (M) Sdn Bhd bekerjasama dengan Shanghai Yinlun Heat Exchange Systems Co Ltd dalam pengeluaran sistem HVAC.
SHJ Interia Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan Changchun Fawsn Automotive Trim Co Ltd bagi pembangunan teknologi pembuatan baharu untuk komponen dalaman terutamanya pelapik bumbung, termasuk penubuhan fasiliti R&D SHJ dan potensi pelaburan oleh Fawsn di Malaysia.
Perjanjian teknikal kedua dimeterai antara Xenso Electronics Sdn Bhd dan Freetech Intelligent Systems Co. Ltd, melibatkan pengesan belakang dan sisi berketepatan tinggi untuk fungsi pemantauan titik buta dan bantuan penukaran lorong.- DagangNews.com








