PROTON labur lagi RM37 juta tingkatkan kapasiti kilang EV di Tanjong Malim, sasar pengeluaran 42,000 unit setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PROTON labur lagi RM37 juta tingkatkan kapasiti kilang EV di Tanjong Malim, sasar pengeluaran 42,000 unit setahun

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Mei - PROTON merancang meningkatkan kapasiti kilang pemasangan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Automotive High-Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim menerusi pelaburan tambahan sebanyak RM37 juta.

 

Pelan pengembangan itu diumumkan kurang setahun selepas fasiliti berkenaan mula beroperasi susulan permintaan memberangsangkan terhadap rangkaian Proton e.MAS di pasaran tempatan dan eksport.

 

Langkah tersebut turut selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh keupayaan pembuatan kenderaan elektrik (EV) tempatan dan mempercepat pembangunan ekosistem automotif Malaysia.

 

Kilang NEV yang dibangunkan menerusi pelaburan awal RM82 juta dan dirasmikan Perdana Menteri sebelum ini kini mempunyai kapasiti pemasangan sebanyak 20,000 unit setahun.

 

Fasiliti itu dilengkapi teknologi robotik moden, sistem pengurusan pengeluaran berasaskan awan dan Industrial Internet of Things (IoT), sekali gus membolehkan pelbagai model dipasang dalam satu barisan pengeluaran.

 

Menerusi pelan baharu itu, kapasiti pengeluaran tahunan kilang berkenaan akan meningkat kepada 42,000 unit bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport yang semakin berkembang.

 

Pada masa sama, pengembangan tersebut dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Tanjong Malim sebagai hab serantau pembuatan NEV dalam ekosistem Geely Group.

 

Ketika ini, fasiliti berkenaan menggaji seramai 391 pekerja dan pelaburan tambahan itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain memperkukuh rantaian bekalan EV serta kepakaran teknikal tempatan.

 

Momentum pertumbuhan itu dipacu sambutan kukuh terhadap model Proton e.MAS, khususnya Proton e.MAS 5 yang merekodkan sebanyak 8,472 unit penghantaran dalam tempoh empat bulan pertama 2026.

 

Prestasi itu menjadikan model berkenaan EV paling laris di Malaysia ketika ini, didorong gabungan harga kompetitif, ciri praktikal dan teknologi terhubung.

 

Bersama Proton e.MAS 7 dan e.MAS 7 PHEV, jumlah jualan keseluruhan rangkaian NEV PROTON mencecah 11,617 unit bagi tempoh Januari hingga April 2026, melonjak 329% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Susulan peningkatan permintaan itu, Proton e.MAS 5 bakal menyertai Proton e.MAS 7 sebagai model EV pemasangan tempatan kedua syarikat di Tanjong Malim.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, pengembangan tersebut mencerminkan keyakinan pengguna terhadap produk syarikat serta komitmen jangka panjang PROTON dalam menyokong perkembangan industri EV negara.

 

“Permintaan pelanggan melebihi unjuran awal dan perkara ini mempercepatkan perancangan kami untuk memperluaskan kapasiti pengeluaran tempatan.

 

“Selain meningkatkan jumlah pengeluaran, pelaburan ini juga mencerminkan komitmen PROTON dalam membantu membangunkan ekosistem EV Malaysia termasuk pembangunan bakat, penciptaan pekerjaan dan pengukuhan rantaian bekalan automotif tempatan,” katanya.

 

Beliau berkata, pelaburan terbaharu itu turut memperlihatkan keyakinan PROTON terhadap masa depan industri automotif negara serta aspirasi syarikat untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap mobiliti masa depan di Malaysia dan ASEAN. - DagangNews.com