KUALA LUMPUR 15 Julai - Prospek jangka sederhana Wentel Engineering Holdings Bhd. (Wentel) kekal positif meskipun prestasi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) berada di bawah jangkaan, menurut Malacca Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek itu disokong oleh pengembangan kapasiti menerusi kilang baharu Lot 815 serta kedudukan syarikat dalam rantaian bekalan peralatan pemeriksaan keselamatan dan pembuatan semikonduktor yang dijangka terus berkembang.
Katanya, pengembangan kilang Lot 815 dijangka menjadi pemangkin operasi utama apabila beroperasi sepenuhnya, sekali gus meningkatkan kapasiti Wentel untuk melaksanakan tempahan berskala lebih besar dan lebih kompleks serta menyokong pertumbuhan pendapatan dalam jangka panjang.
Menurut firma itu lagi, prospek syarikat turut diperkukuh oleh pertumbuhan pasaran global bagi peralatan pemeriksaan keselamatan dan peralatan pembuatan semikonduktor yang masing-masing diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6.8% dan 8.4%.
"Kami kekal berhati-hati tetapi positif terhadap prospek jangka sederhana Wentel. Walaupun prestasi jangka pendek masih dipengaruhi campuran hasil, turun naik kadar pertukaran asing serta masa penukaran tempahan kepada jualan, pengembangan Lot 815 dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama.
"Apabila baki lesen, pemasangan mesin dan pensijilan selesai, kemudahan baharu itu akan meningkatkan kapasiti syarikat untuk menerima lebih banyak tempahan bernilai tinggi, sekali gus menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam nota penyelidikan.
Melengkapkan Baki Lesen
Malacca Securities berkata, kilang Lot 815 telah siap dibina dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), manakala pihak pengurusan kini sedang melengkapkan baki lesen, pemasangan mesin serta pensijilan sebelum operasi fabrikasi dimulakan sepenuhnya.
Dari segi prestasi kewangan, Wentel mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM2.7 juta pada 1QFY26, susut 52.4% berbanding suku sebelumnya dan 55.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Walaupun hasil kekal stabil pada RM31.8 juta, keuntungan sebelum cukai (PBT) merosot kepada RM3.7 juta manakala keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) turut susut kepada RM2.7 juta.
Penyusutan margin tersebut bukan berpunca daripada kelemahan permintaan, sebaliknya disebabkan perubahan campuran hasil kepada produk yang menawarkan margin lebih rendah serta kerugian pertukaran asing yang direalisasikan.
Berdasarkan perkembangan itu, firma penyelidikan itu telah menyemak semula unjuran pendapatan bagi FY2026 hingga FY2027 kepada RM10.7 juta hingga RM11.9 juta, mengambil kira andaian yang lebih konservatif terhadap margin kasar, peningkatan kos jualan dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan berkenaan juga mengekalkan saranan 'Pegang' terhadap saham Wentel dengan harga sasaran (TP) RM0.23, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 23 kali yang disandarkan kepada unjuran pendapatan sesaham (EPS) pertengahan FY2027 sebanyak 0.98 sen.
Walaupun harga saham semasa sekitar RM0.275 melebihi harga sasaran tersebut, Malacca Securities berpandangan saranan 'Pegang' masih wajar memandangkan terdapat potensi peningkatan prestasi apabila kilang Lot 815 memperoleh semua kelulusan yang diperlukan dan memulakan operasi sepenuhnya. - DagangNews.com








