KUALA LUMPUR 15 Julai – Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia memperkasa negara ini sebagai hab serantau menerusi Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2026.
Acara itu kembali sekali lagi dianjurkan selepas dua tahun, sebagai platform strategik merancakkan pelaburan, inovasi serta kerjasama rentas sempadan dalam mempercepatkan peralihan tenaga di rantau ini.
Penganjuran edisi ketujuh itu mencerminkan komitmen negara dalam agenda tenaga boleh diperbaharui (RE), selain mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peneraju perbincangan dasar di Asia Tenggara.
"ISES 2026 akan berlangsung pada 11 hingga 12 Ogos 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan membawa tema 'Merealisasikan Tenaga Lestari Merentasi Sempadan'," kata SEDA dalam satu kenyataan.
Program yang dihoskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) itu dijangka menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, pelabur, dan organisasi dari seluruh dunia.
Persidangan dijadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof, yang juga Menteri Petra, sekali gus meletakkan ISES 2026 sebagai antara acara tenaga lestari penting di Malaysia.

SEDA berkata, penganjuran kali ini turut memberi penekanan kepada kerjasama dengan platform media antarabangsa bagi memperluaskan perbincangan mengenai tenaga lestari ke peringkat serantau.
"Pendekatan itu selaras dengan realiti semasa apabila isu perubahan iklim, keselamatan tenaga, kemajuan teknologi dan kelestarian yang saling berkait, serta memerlukan penyelesaian bersama," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDA merangkap Pengerusi Penganjur ISES 2026, Datuk Hamzah Hussin berkata, tema tahun ini mencerminkan aspirasi platform yang menghubungkan idea kepada pelbagai kerjasama.
Peralihan tenaga bukan lagi isu dibincangkan secara berasingan kerana cabaran iklim kini memberi kesan secara kolektif kepada ekonomi dunia, dan memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Sejak diperkenalkan, ISES berkembang menjadi antara forum utama tenaga lestari di rantau ini dengan edisi terdahulu menarik penyertaan 24 negara dan menghimpunkan lebih 5,800 peserta berdaftar.
"Penganjuran sebelum ini turut menjana nilai liputan media melebihi RM10 juta, dan mencerminkan peningkatan minat komuniti antarabangsa terhadap agenda tenaga lestari Malaysia," kata beliau.
Pendaftaran peserta serta peluang kerjasama strategik bagi ISES 2026 kini dibuka, dengan SEDA menjangkakan penyertaan meluas pelbagai pihak di peringkat serantau. - DagangNews.com








