INFINITY8 buka cawangan ke-14 di Medini, rebut peluang pertumbuhan JS-SEZ Johor-Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

INFINITY8 buka cawangan ke-14 di Medini, rebut peluang pertumbuhan JS-SEZ Johor-Singapura

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 15 Julai – Pengendali ruang kerja fleksibel, INFINITY8 memperluaskan kehadirannya di Johor menerusi pembukaan cawangan ke-14 di Menara IIB, Medini, sekali gus meletakkan syarikat itu dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan daripada syarikat yang ingin beroperasi dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Pusat baharu yang dikenali sebagai INFINITY8 Reserve IIB itu menempatkan ruang kerja seluas kira-kira 13,417 kaki persegi (1,247 meter persegi) di Medini Iskandar, antara hab komersial yang dijangka menerima limpahan pelaburan rentas sempadan serta peningkatan aktiviti perniagaan susulan pelaksanaan JS-SEZ.

 

Pembukaan tersebut dibuat ketika Malaysia dan Singapura mempergiat kerjasama bagi menjadikan JS-SEZ sebagai koridor pelaburan serantau, dengan Johor semakin mendapat perhatian syarikat yang mahu mengembangkan operasi sambil mengekalkan akses mudah ke Singapura.

 

Tinjauan yang dijalankan oleh Singapore Business Federation baru-baru ini mendapati 93% syarikat berpangkalan di Singapura menganggap Johor sebagai destinasi pelaburan yang menarik, sekali gus mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap peranan negeri itu sebagai hab perniagaan serantau.

 

Terletak kira-kira 15 minit dari Laluan Kedua Malaysia-Singapura, pusat kerja itu dihubungkan secara terus melalui rangkaian lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Laluan Kedua (Linkedua), Coastal Highway Southern Link dan Lebuhraya Utara-Selatan, sekali gus menawarkan kemudahan akses kepada syarikat yang beroperasi di Johor dan Singapura.

 

INFINITY8 berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk membangunkan ekosistem perniagaan bersepadu, bukan sekadar menyediakan ruang pejabat, sejajar dengan keperluan syarikat yang semakin memerlukan sokongan operasi ketika memasuki pasaran Malaysia.


 

solar

 


Permintaan dijangka meningkat

Pengasas Bersama INFINITY8, Lee Sheah Liang berkata, syarikat itu yakin JS-SEZ akan meningkatkan permintaan daripada syarikat yang ingin mengembangkan operasi ke Johor, khususnya yang memerlukan penyelesaian ruang kerja fleksibel bersama sokongan operasi dan rangkaian perniagaan tempatan.

 

"Pelancaran INFINITY8 Reserve IIB mencerminkan keyakinan kami terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang Johor serta peluang yang diwujudkan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

 

"Apabila semakin banyak syarikat meneroka peluang untuk berkembang ke Johor, mereka memerlukan lebih daripada sekadar ruang pejabat. Mereka memerlukan akses kepada bakat, sokongan operasi, kepakaran tempatan serta rangkaian perniagaan yang mampu membantu mereka memulakan operasi dan berkembang dengan lebih cekap," katanya.

 

Kawasan Medini kini muncul sebagai antara presint komersial utama di Iskandar Puteri, disokong oleh pembangunan seperti EduCity Iskandar Malaysia, Gleneagles Hospital Medini dan LEGOLAND Malaysia Resort, selain pembangunan komersial serta kediaman yang terus berkembang.

 

Pembukaan INFINITY8 Reserve IIB mengukuhkan lagi rangkaian syarikat itu di Johor ketika negeri tersebut terus mencatat pertumbuhan pelaburan industri, kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaksanaan JS-SEZ yang dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi serta aktiviti perniagaan rentas sempadan. - DagangNews.com