KUALA LUMPUR 28 Mei – Prospek jangka pendek WCT Holdings Berhad masih lemah dan belum menunjukkan tanda pemulihan kukuh dengan prestasinya dijangka terus berada di bawah tekanan dalam beberapa suku akan datang, kata penganalisis.
Pertumbuhan pendapatan WCT akan kekal terhad dalam tempoh terdekat, dengan pemulihan kumpulan adalah secara berperingkat, bergantung kepada kejayaan pelaksanaan projek sedia ada serta penukaran tender kepada kontrak sebenar.
MBSB Research dan CGS International berpandangan segmen pembinaan masih belum menunjukkan pemulihan margin yang meyakinkan dengan tekanan kos dan fasa projek yang semakin matang terus membayangi prospek keuntungan kumpulan.
Walaupun memiliki buku tempahan yang besar, impaknya terhadap keuntungan dijangka hanya berlaku secara beransur-ansur dan bukan serta-merta.
MBSB Research telah menyemak turun penarafan dan unjuran terhadap WCT Holdings Berhad dengan menurunkan saranan daripada Beli kepada Neutral serta mengurangkan harga sasaran daripada RM0.60 kepada RM0.47.
Semakan ini turut disertai pemotongan unjuran pendapatan bagi FY2026 dan FY2027 sebanyak kira-kira 5%, mencerminkan pandangan yang lebih berhati-hati terhadap prospek keuntungan syarikat dalam jangka pendek.
Firma penyelidikan itu berkata segmen pembinaan terus mencatat kerugian operasi berikutan kesan pengukuran semula kos projek serta peralihan fasa projek yang semakin hampir siap yang menyebabkan margin keuntungan mengecil walaupun terdapat aktiviti pembinaan yang masih berjalan.
"Ketiadaan sumbangan daripada aset runcit yang telah dipindahkan ke amanah pelaburan hartanah (REIT) telah mengecilkan asas pendapatan kumpulan. Ini menjadikan struktur pendapatan WCT lebih bergantung kepada prestasi pembinaan dan pembangunan hartanah semata-mata.
"Dari sudut hartanah, jualan syarikat masih ketinggalan berbanding sasaran tahun kewangan 2026, menunjukkan cabaran dalam mencapai sasaran tahunan. Walaupun begitu, jualan belum dibilkan yang stabil memberikan sedikit sokongan kepada prospek jangka sederhana kumpulan
"Kami berpendapat WCT masih berada dalam fasa pemulihan yang belum matang dengan risiko utama berpunca daripada kelemahan margin pembinaan dan ketidakpastian jualan hartanah," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Sementara itu, CGSI Research pula mengekalkan pandangan lebih positif terhadap WCT dengan saranan Tambah pegangan serta harga sasaran lebih tinggi pada RM1.12.
Firma penyelidikan itu berpendapat penilaian semasa saham adalah terlalu murah berbanding potensi aset dan peluang projek yang ada.
"WCT kini lebih agresif dalam pembidaan projek, dengan sasaran kemenangan kontrak sekitar RM2 bilion bagi tahun kewangan 2026 termasuk projek infrastruktur di dalam dan luar negara dengan kemenangan awal di Taiwan sebagai pemangkin penting untuk membuka pasaran baharu.
"Selain itu, kami melihat saiz buku tender sekitar RM14 bilion sebagai faktor utama yang boleh menyokong pertumbuhan masa depan kumpulan. Sekiranya sebahagian besar tender ini berjaya ditukar kepada kontrak, ia mampu meningkatkan aliran pendapatan secara berperingkat," katanya.
Firma itu turut menekankan bahawa penilaian WCT pada ketika ini berada pada tahap sangat rendah, sekitar 0.2 kali nisbah harga kepada nilai buku, jauh di bawah purata sejarah sektor.
"Ini membuka ruang besar untuk penilaian semula saham sekiranya prestasi operasi bertambah baik. Pemangkin utama saham WCT adalah kejayaan mendapatkan projek baharu serta peningkatan pelaksanaan projek sedia ada.
"Risiko utama pula kekal pada kegagalan mencapai sasaran kontrak dan kelemahan jualan hartanah yang berterusan.
" Secara keseluruhan, kami berpandangan walaupun prestasi semasa masih lemah, potensi pemulihan jangka sederhana hingga panjang kekal menarik sekiranya syarikat berjaya menukar saluran projek kepada keuntungan sebenar dan meningkatkan kecekapan operasi," katanya. - DagangNews.com








