KUALA LUMPUR 7 Mac - Prospek untuk simen dan aluminium diyakini positif pada tahun ini sebabkan dinamik permintaan stabil yang menyokong harga selain tekanan kos yang semakin berkurangan, kata RHB Research.
Katanya, harga simen pukal kembali stabil dan kekal pada RM380 bagi setiap tan sejak Julai 2023 dan menjangkakan ia akan terus stabil.
Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan jangkaan permintaan daripada projek-projek utama seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Lebuhraya Span Ipoh Barat, dan pengembalian semula lima stesen LRT Laluan 3, bersama-sama dengan permintaan yang kukuh untuk projek perindustrian dan pembangunan hartanah.
"Harga arang batu juga telah menurun sebanyak 16%, mengurangkan tekanan kos bagi pengeluar simen.
"Walaupun kontrak pembekalan Malayan Cement untuk Laluan Rel Pantai Timur Fasa 1 berakhir pada 2024, pihak pengurusan memberi petunjuk ia masih membekalkan simen untuk Fasa 2, walaupun tanpa kontrak eksklusif," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, cadangan tarif import sebanyak 25% hanya memberi kesan minimum kepada Press Metal Aluminium Holdings Bhd kerana jualannya yang terhad ke rantau Amerika (1% daripada hasil FY24).
Katanya, harga aluminium LME mencatatkan peningkatan 5.5% kepada AS$2,665 setiap tan kerana kekurangan bekalan global di tengah-tengah kelewatan dalam peningkatan kilang-klang baharu berikutan peningkatan kos.
Firma penyelidikan itu berkata, premium AS meningkat hamper dua kali ganda ke paras tertinggi sebanyak AS$920 setiap tan manakala Pelabuhan Utama Jepun meningkat sebanyak 11% daripada pengurangan pengeluaran, tetapi Premium Eropah ketinggalan 2% disebabkan kebimbangan bekalan aluminium Kanada memasuki pasaran.
"Dari segi kos, harga alumina berkurangan sebanyak 30% apabila risiko rantaian bekalan berkurangan yang sepatutnya menyokong pengembangan margin untuk Press Metal pada FY25," katanya.
RHB Research mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor itu. - DagangNews.com








