Prospek sarung tangan diramal mencabar akibat persaingan harga dari China, kata BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek sarung tangan diramal mencabar akibat persaingan harga dari China, kata BIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - Prospek sektor sarung tangan getah Malaysia diramal mencabar akibat lebihan bekalan serta persaingan harga daripada pengeluar China, kata BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah jualan dijangka mendatar pada separuh kedua 2025 dan purata harga jualan (ASP) juga dilihat tidak akan berubah. 

 

“ASP dijangka mendatar berikutan lebihan bekalan di peringkat global dan persaingan harga berterusan daripada pengeluar sarung tangan dari China bagi pasaran bukan Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu nota kajian.

 

BIMB Securities berkata, syarikat-syarikat China sedang memindahkan sebahagian daripada kos operasi pengeluaran mereka ke Asia Tenggara merangkumi Indonesia, Vietnam dan Kemboja sebagai usaha mengelakkan tarif serta mengekalkan daya saing kos.

 

Memandangkan landskap persaingan semasa dan momentum permintaan yang lemah dari AS, firma penyelidikan itu berkata, pemulihan harga dipercayai tidak mungkin berlaku.

 

Selepas aktiviti pembelian awal oleh pelanggan AS pada Januari dan Februari lalu, BIMB Securities berkata, jumlah pesanan adalah perlahan sejak itu disebabkan pengumpulan inventori.

 

“Melihat ke hadapan bagi separuh kedua 2025, kami menjangkakan hanya peningkatan kecil dalam permintaan kerana pelanggan kekal berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan berkaitan tarif yang berterusan,” katanya.

 

Katanya, kenaikan gaji minimum juga telah meningkatkan kos buruh dan walaupun harga gas asli semakin reda, tahap keuntungan masih tidak stabil.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “neutral” ke atas sektor ini, dengan merujuk kepada isu-isu struktur dan ketidaktentuan perdagangan global, serta pemangkin kenaikan yang terhad.

 

“Kami menetapkan saranan "pegang" ke atas Hartalega Holdings Bhd, Kossan Rubber Industries Bhd dan Top Glove Corp Bhd, manakala Supermax Corp Bhd tidak diberikan penarafan," katanya.- DagangNews.com