Prospek QL Resources dilihat lebih baik dibantu oleh permintaan stabil - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek QL Resources dilihat lebih baik dibantu oleh permintaan stabil - MIDF Research

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Disebalik ketidaktentuan ekonomi global, termasuk ketegangan geopolitik dan kadar tukaran mata wang asing (forex), MIDF Research mengekalkan prospek positif terhadap QL Resources, disokong oleh permintaan yang stabil dan kecekapan kos merentas segmen utama.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kepelbagaian model perniagaan QL Resources dan fokus strategik kumpulan pada tenaga boleh diperbaharui (RE) yang bakal memacu daya tahan dan peluang pertumbuhan jangka masa panjang kumpulan.

 

QL Resources melaporkan keputusan bercampur-campur pada 3QFY25, dengan segmen Minyak Sawit dan Tenaga Bersih (POCE) memacu pertumbuhan, manakala segmen Pengilangan Produk Marin (MPM) tberkembang dengan perlahan akibat hakisan margin.

 

Pengeluar makanan agro itu mencatat hasil sebanyak RM1.8 bilion pada 3QFY25 iaitu di bawah ramalan tahun penuh MIDF.

 

Walaubagaimanapun, MIDF berkata, segmen Penternakan Bersepadu (ILF) dan segmen MPM dijangka mendapat manfaat daripada kos input yang lebih rendah dan subsidi  hasil ladang kerajaan.

 

"Segmen kedai serbaneka (CVS) dijangka meraih  keuntungan daripada sentimen pengguna yang bertambah baik, didorong oleh pembaharuan gaji kakitangan awam.


"Selain itu, segmen POCE berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan saluran paip projek solar yang kukuh dan arah aliran harga MSM yang menggalakkan, didorong lagi oleh pemerolehan strategik Plus Xnergy Holdings," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 


Disebabkan oleh penyusutan margin dalam MPM dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dalam CVS, MIDF menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan pada FY25 sehingga FY27 masing-masing pada 12%, 19% dan 23%.

 

"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM4.40 daripada RM4.83, mencerminkan cabaran jangka masa pendek kumpulan," katanya. - DagangNews.com